BINTULU: Seramai 600 murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru menyertai Bengkel ‘The Little Eco Warriors: The 3R (Reduce, Reuse, Recycle) Quest’ yang diadakan di sekolah itu semalam bertujuan memupuk kesedaran tentang pengurusan sisa lestari daripada usia muda.
Bengkel anjuran Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) itu dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Sarawak Eco Warrior.
Menurut satu kenyataan daripda UPMKB, program itu bertujuan memperkenal konsep 3R dan kepentingannya kepada alam sekitar kepada murid-murid.
Pensyarah Kanan FKPS UPMKB, Dr. Karmilah Abdullah dalam kenyataan itu berkata, pendidikan awal mengenai kelestarian sangat penting dalam membentuk generasi muda yang prihatin terhadap isu alam sekitar.
“Dengan memperkenal konsep 3R kepada murid-murid sejak usia muda, kami berharap mereka faham bahawa usaha kecil yang dilakukan secara kolektif dan konsisten mampu memberi impak positif terhadap alam sekitar,” katanya.
Selain itu, pelbagai aktiviti interaktif dan demonstrasi turut diadakan untuk menarik perhatian murid-murid, termasuk permainan kitar semula dan penggunaan tong kitar semula.
Difahamkan, wakil Sarawak Eco Warrior, Raden Kamarulzaman Raden Bustari mengendalikan bengkel melalui penceritaan dan aktiviti yang menarik minat muria-murid.
Manakala BDA yang diwakili oleh Bahaman Ali Jennah Abdul Latip menyediakan bahan pendidikan dan sokongan logistik untuk bengkel tersebut.
Ujar kenyataan itu lagi, program berkenaan diharapkan dapat terus diadakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar dari usia muda.
Oleh Carolyne Utih