BINTULU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing mengumumkan pembatalan penganjuran rumah terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) yang dijadualkan pada 9 Februari ini sebagai langkah untuk memberi fokus sepenuhnya kepada usaha membantu mangsa banjir yang terjejas teruk di sekitar Bintulu.
Menurutnya, keputusan itu terpaksa diambil berikutan situasi banjir yang melanda Bintulu menyebabkan ramai mangsa kehilangan tempat tinggal, harta benda, dan mengalami kerugian besar.
“Ramai mangsa kehilangan tempat tinggal, harta benda dan mengalami kerugian besar susulan banjir teruk yang melanda Bintulu.
“Situasi ini memerlukan usaha kolektif jangka panjang untuk mengatasi cabaran sukar ini.
“Oleh itu, kami memutuskan untuk menangguhkan rumah terbuka dan menumpukan segala perhatian kepada usaha pemulihan mangsa banjir yang amat memerlukan bantuan kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya malam ini.
Dengan pembatalan rumah terbuka ini, beliau memberi jaminan bahawa segala sumber akan dialihkan untuk menyediakan kemudahan dan bantuan yang lebih baik kepada mereka yang terjejas banjir.