
LAWAS: Golongan belia memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), kata Pengerusi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Ba’kelalan, Steve Lius.
Beliau berkata, usaha menggerakkan pembangunan masa depan negeri terletak di bahu generasi muda yang perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran bersesuaian.
“Kita sebagai golongan belia perlu lebih fokus menimba pelbagai ilmu dan kemahiran. Kita tidak mahu ketinggalan serta menyerahkan tanggungjawab membangunkan negeri kepada orang luar Sarawak kerana hanya anak Sarawak memahami budaya dan keperluan pembangunan negeri ini,” katanya ketika ditemui media sekembalinya dari Kuching semalam.

Menurutnya, kepimpinan tertinggi Sarawak termasuk Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sering menggesa golongan belia supaya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi menghadapi cabaran pembangunan masa depan.
Pada masa sama, Steve menegaskan kepentingan memelihara perpaduan dalam kalangan masyarakat bagi memastikan Sarawak terus maju dan makmur.
“Perpaduan amat penting kerana terdapat pihak yang cuba memecahbelahkan masyarakat yang sekian lama hidup bersatu padu melalui isu sensitif seperti perkauman, agama dan kepimpinan negeri.
“Kita tidak mahu terpengaruh dengan politik perpecahan dari luar Sarawak kerana kepimpinan negeri sentiasa memastikan tiada kaum atau agama dipinggirkan,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat khususnya belia perlu memberi tumpuan kepada usaha membina masa depan lebih gemilang berbanding terlibat dalam politik yang boleh menjejaskan keharmonian negeri.
Terdahulu, Steve mengetuai pasukan futsal Saberkas Cawangan Bukit Sari dan Ba’kelalan menyertai pertandingan Futsal Piala Presiden Saberkas di Kuching.
Menurutnya, perjalanan dari Lawas ke Kuching turut memberi pengalaman berharga dalam memupuk semangat kerjasama, perpaduan dan kekeluargaan dalam kalangan peserta.
“Melalui perjalanan panjang ini, kami dapat membina semangat kerjasama, perpaduan dan saling membantu walaupun datang daripada latar belakang berbeza. Semangat inilah yang perlu dibawa ke setiap ranting agar kita terus bersatu padu dan saling mengambil berat tanpa mengira agama atau bangsa,” katanya.
Oleh Adeng Edrus