
LIMBANG: Pengundi muda di Sarawak perlu bijak mengundi dalam pilihan raya untuk menentukan hala tuju kepimpinan dan masa depan selain mencorakkan landskap politik negara.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata bahawa belia Sarawak berusia 18 tahun kini dibenarkan mengundi dalam pilihan raya, selaras dengan pelaksanaan Undi18 di seluruh negara.
“Golongan belia ini sudah tahu peranan mereka, dan mereka perlu mengambil peluang ini untuk mencorak siapa yang mereka yakin untuk menjadi pemimpin apabila berlakunya pilihan raya sama ada pilhan raya negeri ataupun persekutuan.
Saya menyeru para pengundi tak kira golongan belia golongan tua apabila berlaku pilihan raya bantulah pastikan bahawa kerajaan yang dipilih nanti kerajaan yang bertanggungjawab dan mampu mentadbir negeri dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penangguhan Program SAMAsedia Siri Satu 2026 Limbang di Dewan Suarah Limbang hari ini.

Jelasnya pentadbiran di bawah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berada pada landasan terbaik dan cemerlang dalam membangunkan wilayah ini.
Justeru golongan belia perlu menyokong segala dasar pembangunan demi kesinambungan kemajuan Sarawak.
Katanya lagi seramai 45 belia di daerah Limbang menyertai Program SAMASedia siri satu 2026, anjuran Yayasan Budaya Melayu Sarawak (YBMS).
Program selama tiga hari tersebut bertujuan untuk membina jati diri para belia, mempersiapkan mereka sebagai generasi pelapis pemimpin yang berwibawa dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran era globalisasi.
Selain itu, SAMASedia 2025 juga fokus dalam memupuk jati diri belia sebagai persiapan untuk melangkah ke alam pekerjaan selain melahirkan pemimpin baharu daripada kalangan belia.