

GEDONG: Seekor buaya jantan bersaiz besar berjaya ditangkap oleh Sarawak Crocter bersama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dengan kerjasama penduduk kampung di Sungai Gedong, hari ini.
Reptilia itu dianggarkan sepanjang 3.85 meter dengan berat sekitar 200 kilogram, dan dipercayai kerap berada berhampiran kawasan kampung sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, khususnya nelayan sungai.
Operasi penangkapan itu dilakukan sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap orang awam.
Menurut Pengarah Sarawak Crocter, Francis Chai berkata, operasi berkenaan dilaksanakan secara bersepadu bersama SFC dan penduduk kampung bagi memastikan keselamatan setempat terjamin.
“Demi keselamatan nelayan dan penduduk kampung, buaya ini berjaya ditangkap dalam operasi berkenaan,” katanya.
“Operasi ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak di lapangan bagi memastikan ia dapat dijalankan dengan lancar dan selamat,” tambahnya.
“Kita akan terus memantau kawasan Sungai Gedong bagi memastikan tiada lagi ancaman buaya kepada penduduk,” jelasnya.
Orang ramai dinasihatkan agar segera melaporkan sebarang penampakan buaya kepada pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan bersama.
Oleh Norman B