KUCHING: Belia di Sarawak diseru untuk mendalami bidang ekonomi berasaskan teknologi digital secara aktif hingga ke peringkat antarabangsa sama ada sebagai tenaga kerja terlatih atau pakar kataMenteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah
Beliau berkata, Kerajaan komited mencari kaedah untuk untuk mencipta peluang pekerjaan berkualiti dengan pendapatan setimpal bagi menghadapi pasca Covid-19 serta cabaran lain yang bakal datang.
“Perkembangan ekonomi digital negara perlu digunakan sepenuhnya. Tambahan pula, belia adalah pengguna utama teknologi tersebut di Malaysia.
“Pastinya pelbagai inisiatif berkaitan teknologi dan ICT yang dilaksanakan oleh Kerajaan boleh dimanfaatkan oleh belia untuk meneroka pelbagai peluang bagi menjana ekonomi dan mempelbagaikan sumber pendapatan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, belia di sarawak perlu merebut peluang tersebut seterusnya membuktikan bahawamereka berupaya menjadi peneraju ekonomi digital di negara ini.
Abdul Karim berkata, kerajaan Sarawak ketika ini dengan kerjasama agensi swasta telah melaksanakan pelbagai inisatif antaranya ” Sarawak Digital Economy Strategy 2018-2022 ” yang mana salah satu miisi utamanya adalah meningkatkan gunatenaga kerja belia.
“Terdapat banyak lagi inisiatif yang diperkenalkan bagi tujuan membangunkan ekonomi digital untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Sarawak, katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak di Hotel Pullman, di sini, kelmarin.
Beliau menambah, Kerajaan mengambil maklum bahawa kaedah digital ini berkemungkinan agak sukar untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh belia-belia luar bandar susulan kekangan liputan.
“Oleh itu, Kerajaan mengalu-alukan inisiatif daripada pelbagai pihak yang boleh membantu belia luar bandar mempertingkatkan potensi mereka mengikut keperluan setempat tanpa perlu berhijrah ke bandar,” ujarnya.
Oleh Cheryl Law