SIBU: Lebih ramai belia digesa sertai SKUAD Antidadah bagi berganding bahu bersama kerajaan dalam usaha membasmi penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.
Setiausaha Politik Premier Sarawak, Sayed Azmee Wan Junaidi menekankan pentingnya kolaborasi bersepadu dan dinamik untuk membendung penularan penyalahgunaan dadah, sekali gus memutuskan rantaian aktiviti tidak sihat itu.
“Penggunaan teknologi terkini seperti aplikasi dan media baharu harus diteroka untuk menyampaikan mesej kesedaran antidadah secara efektif,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Apresiasi Pencegahan dan Pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu 2024 di sebuah hotel terkemuka, baru-baru ini.
Lebih 200 orang termasuk ahli SKUAD Antidadah dan klien-klien AADK hadir majlis tersebut yang merupakan anjuran Jawatankuasa Kerja One Stop Committee (OSC) Bagi Menangani Isu Dadah Dan Substans (MIDS) Daerah Sibu dengan kerjasama AADK Daerah Sibu.
Sementara itu, Pengarah AADK Negeri Sarawak, Abdul Hamediee Ibrahim, mengucapkan terima kasih kepada OSC MIDS Daerah Sibu atas sokongan padu terhadap majlis ini.
Beliau turut memuji SKUAD Antidadah Sibu yang berjaya membantu menggerakkan pendaftaran ahli baharu menerusi Kempen 1 Juta Ahli SKUAD Antidadah.
Sebanyak lapan anugerah individu seperti Anugerah Aktif SKUAD Antidadah 2024 dan Anugerah Klien Terbaik serta lima anugerah organisasi disampaikan sebagai tanda penghargaan kepada usaha gigih dalam pencegahan dan pemulihan dadah.
Terdahulu, satu Bengkel Peranan Masyarakat Bebas Dadah melibatkan 45 peserta diadakan di hotel yang sama.
Bengkel ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan penglibatan masyarakat dalam usaha membanteras dadah serta mewujudkan komuniti bebas dadah.
Dengan usaha bersepadu ini, AADK yakin dapat mengurangkan permasalahan dadah di Sarawak, sekali gus memastikan generasi akan datang bebas daripada ancaman dadah.
Oleh Tarani Lanting