LAWAS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mencadangkan peruntukan kira-kira RM3 bilion bagi Belanjawan 2025.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata permohonan itu dibuat susulan kajian dengan teliti terhadap program yang memberi kesan dan manfaat kepada masyarakat.
Bagaimanapun katanya, kelulusan adalah tertakluk kepada Kementerian Kewangan.
“Biasanya kita letak RM3 bilion lebih (cadangan peruntukan) tetapi RM2 bilion itu lebih kepada memberi bantuan kepada penerima.
“Kita akan senaraikan nama penerima bantuan yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Wanita Dinamik di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nancy mengulangi cadangan berhubung bantuan kepada ibu tunggal untuk menuntut nafkah daripada bekas suami di mahkamah dalam Belanjawan 2025.
“Perancangan kami untuk membantu wanita dan kanak-kanak sebab ada wanita yang bercerai, namun tidak diberi nafkah.
“Kita nak sediakan satu platform untuk bantu mereka pergi ke mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, selepas melihat kejayaan Kembara KASIH KPWKM yang julung kali diadakan dan Sarawak sebagai negeri dipilih, Nancy memaklumkan pihak kementerian bercadang untuk meluaskan kembara ini di negeri lain.
“Kita akan senaraikan dalam belanjawan untuk semua program dan kita akan himpunkan semua program di bawah Kembara KASIH.
“Itu menjadi perancangan kita sebab kita mahu ia (inisiatif) sampai kepada rakyat terutamanya hal kebajikan kerana ramai rakyat mengadu tidak ada peluang untuk mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Seramai 500 peserta menghadiri program Kembara KASIH KPWKM yang julung kali diadakan di negara ini.
Program ini merupakan penambah baik kepada program Wanita Bangkit yang telah membantu 6,208 wanita di 18 lokasi seluruh Sarawak melibatkan bantuan lebih RM3.7 juta.
Nancy kemudian berangkat ke pekan Trusan untuk merasmikan Mini Depoh Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang mampu menyediakan bantuan segera kepada 70 mangsa bencana banjir dan mangsa kebakaran.
Oleh ADENG EDRUS