
KANSAS CITY, Amerika Syarikat: Belanda menewaskan Tunisia 3-1, sebentar tadi untuk muncul juara Kumpulan F Piala Dunia sekali gus mengelak pertemuan sukar dengan Brazil pada pusingan 32 terbaik.
Anak buah Ronald Koeman mendahului 2-0 di Kansas City yang dibasahi hujan hasil dua kesilapan mudah benteng pasukan Afrika Utara itu
Gol pertama hadir apabila Ellyes Skhiri tertampan hantaran lintang Denzel Dumfries ke gawang sendiri, sebelum beberapa minit kemudian penyerang Sunderland, Brian Brobbey, menyudahkan peluang dari jarak dekat.
Kedudukan itu dilihat sudah memadai buat Belanda apabila penyokong mereka yang memenuhi Stadium Arrowhead mula menghiburkan diri dengan aksi ‘Mexican wave’ seawal pertengahan babak pertama.
Tunisia merapatkan jurang pada babak kedua, namun Belanda kembali melebarkan kelebihan kepada dua gol menerusi tandukan Jan Paul van Hecke sejurus melepasi sejam permainan.
Belanda menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan tujuh mata, mengatasi Jepun untuk muncul juara Kumpulan F dan akan berdepan Maghribi pada pusingan kedua di Monterrey, Isnin depan.

Jepun pula mengesahkan tempat kedua kumpulan selepas seri 1-1 dengan Sweden di Arlington, Texas, manakala pasukan Scandinavia itu turut mara sebagai antara lapan pasukan tangga ketiga terbaik.
Perlawanan bermula mengikut jadual selepas ancaman ribut petir yang sebelum itu dikhuatiri menjejaskan aksi di kawasan Midwest, Amerika Syarikat.
Tunisia hampir membuka jaringan seawal minit pertama apabila Ismael Gharbi melepaskan rembatan melepasi palang dari jarak dekat, namun ia hanya memberi gambaran awal yang mengelirukan.
Sebaliknya, Skhiri menghadiahkan gol kepada Belanda apabila tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ketiga, sekali gus meletakkan naib juara dunia tiga kali itu di hadapan.
Empat minit kemudian, Brobbey menjaringkan gol ketiganya di Piala Dunia selepas Virgil van Dijk menanduk bola ke arah pintu gol hasil sepakan percuma Tijjani Reijnders.
Tunisia hampir terus dihukum, namun berjaya bertahan tanpa dibolosi lagi sehingga tamat babak pertama.
Pasukan Afrika Utara itu merapatkan kedudukan pada minit ke-54 menerusi tandukan Hazem Mastouri yang menyambut sepakan penjuru Hannibal Mejbri.

Bagaimanapun, sebarang harapan untuk bangkit segera dipadam apabila tandukan Van Hecke hasil sepakan penjuru Reijnders terkena pemain lawan sebelum menerjah jaring.
Tunisia menamatkan kempen yang memalukan apabila dibolosi 12 gol dalam tiga perlawanan.
Jurulatih berpengalaman dari Perancis, Herve Renard, hanya dilantik minggu lalu bagi menggantikan Sabri Lamouchi yang dipecat susulan kekalahan 1-5 kepada Sweden dalam aksi pembukaan di Mexico.
Namun, beliau gagal mengubah nasib pasukan apabila Tunisia, yang mara ke Piala Dunia tanpa melepaskan sebarang gol sepanjang kempen kelayakan, dibelasah 0-4 oleh Jepun sebelum tewas kepada Belanda.- AFP