
SARATOK: Ahli-ahli Majlis Daerah Saratok diingatkan agar bekerjasama dengan wakil rakyat bagi membantu mempercepatkan proses pembangunan di daerah itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata kerjasama sebagai sebuah pasukan penting bagi memastikan segala perancangan dan aspirasi kerajaan dapat dilaksanakan secara telus dan berkesan.
Katanya, ahli-ahli majlis juga perlu bersikap lebih proaktif dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat selain melengkapkan diri dengan ilmu serta kefahaman tentang fungsi, peranan dan tugas bagi memudahkan mereka melaksanakan kewajipan dan merancang pembangunan.
“Saya berharap semua ahli majlis atau kaunselor dapat memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah dan memainkan peranan yang penting untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap semasa menghadiri Mesyuarat Penuh Khas Ahli Majlis Daerah Saratok yang dipengerusikan oleh Pegawai Majlis Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid di Bilik mesyuarat Perpustakaan Daerah Saratok, hari ini.
Turut hadir ialah ADUN Krian, Friday Belik.
Mohamad Duri berkata antara fokus utama mesyuarat tersebut ialah hal-hal pembangunan di Saratok yang turut melibatkan DUN Kalaka, DUN Krian dan DUN Kabong.
“Setiap masalah dibincangkan bersama ahli majlis yang hadir adalah bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi pembangunan yang mampan.
“Saya pernah memegang jawatan selaku Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Saratok selama beberapa tahun sebelum menjadi Wakil Rakyat di kawasan DUN Kalaka, pengalaman tersebut saya turut kongsikan bersama ahli-ahli yang hadir,” katanya.
Mohamad Duri menambah, beliau bersama ADUN Krian akan terus menyokong dan membantu Majlis Daerah Saratok membangunkan Daerah Saratok.
Oleh Adi Safarman