UNIFOR lulus RM8.46 juta untuk 61 projek di Marudi

Facebook
WhatsApp
PENGHARGAAN… Datuk Dr Penguang Manggil menyampaikan sijil penyertaan kepada Rev. Father Philip Empalah dari Gereja Katolik Marudi. Foto Jiku Juguong

MARUDI: Sebanyak RM8.46 juta diluluskan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi pelaksanaan 61 projek di kawasan Marudi sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil berkata peruntukan itu merangkumi pelbagai projek bagi membantu keperluan rumah ibadat dan institusi berkaitan di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi berkata, bagi fasa pertama 2026, sebanyak dua projek diluluskan dengan jumlah peruntukan RM449,000, iaitu Misi Evangelikal Borneo (BEM) Bahasa Mandarin sebanyak RM199,000 dan BEM Bukit Lapok (RM250,000).

Sementara itu, sebanyak enam projek diluluskan dalam fasa kedua dengan jumlah peruntukan RM1.5 juta.

Projek berkenaan melibatkan BEM Sebatang sebanyak RM195,000, Holy Family Lapok (RM120,000), St Basil Entulang (RM350,000), Tubuh dan Darah Kristus Bakong (RM47,000), Good Shepherd Marudi (RM500,000) dan BEM Long Maro (RM300,000).

Beliau berkata bantuan berkenaan membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap keperluan masyarakat, termasuk dalam pembangunan dan penyelenggaraan rumah ibadat.

“Inilah kerajaan yang diterajui Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sangat prihatin kepada rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada program Program Rumah Ibadat Mesra (Friendly Houses of Worship – FHOW) di Restoran Chan, Marudi, hari ini.

KENANGAN… Peserta Program Rumah Ibadat Mesra (Friendly Houses of Worship – FHOW) bergambar kenangan bersama Datuk Dr Penguang Manggil dan Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau. Foto Jiku Juguong

Program berkenaan dihadiri 220 peserta.

Penguang berkata sejak UNIFOR ditubuhkan pada 2017, unit berkenaan memainkan peranan penting dalam menyalurkan bantuan kepada rumah ibadat dan sekolah mubaligh di Sarawak.

Menurutnya, semua sekolah mubaligh di kawasan Marudi turut menerima peruntukan bagi membantu penyediaan fasiliti, prasarana dan keperluan lain.

“Semua sekolah mubaligh di kawasan ini telah diberi peruntukan. Walaupun jumlahnya tidak besar, ia dapat membantu menyediakan kemudahan seperti fasiliti, prasarana dan keperluan lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa gereja yang memerlukan bantuan supaya mengemukakan permohonan kepada UNIFOR.

“Saya menggesa semua gereja bekerjasama antara satu sama lain kerana ini adalah cara kita hidup di Sarawak dan menghubungi UNIFOR jika memerlukan bantuan,” tambahnya.

Turut berucap pada majlis berkenaan ialah Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain, Dato Georgina Apphia Ngau.

Oleh Jiku Juguong