KATSN buka ruang bakat individu autisme berkembang

Facebook
WhatsApp
SENATOR Dato’ Ahmad Ibrahim melihat hasil lukisan yang dipamerkan pada Pameran Seni KATSN Gifted Art hari ini. Foto Norman B

KUCHING: Individu autisme perlu diberi peluang untuk mengembangkan bakat sehingga mampu menjadikannya sebagai sumber pendapatan dan membina kehidupan lebih berdikari pada masa depan.

Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, usaha mewujudkan masyarakat inklusif tidak seharusnya terhenti apabila golongan berkeperluan khas menamatkan alam persekolahan.

Menurutnya, peluang dalam pembangunan kemahiran, pekerjaan, keusahawanan dan industri kreatif perlu diperluaskan berdasarkan kebolehan setiap individu.

“Inklusiviti tidak boleh terhenti apabila alam persekolahan berakhir. Kita memerlukan peluang dalam pembangunan kemahiran, pekerjaan, keusahawanan dan industri kreatif berdasarkan kebolehan setiap individu.

PAMERAN…Pelbagai hasil karya seni dipamerkan sempena Pameran Seni KATSN Gifted Art hari ini. Foto Norman B

“Seni sendiri boleh menjadi salah satu daripada peluang tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Pameran Seni Tahunan Persatuan Pembangunan Bakat dan Kebajikan Orang Berkeperluan Khas Kuching (KATSN) 2026 di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.

Beliau berkata, karya individu autisme berpotensi dipasarkan menerusi pameran dan tempahan, manakala hasil reka bentuk mereka boleh diketengahkan dalam bentuk produk seperti kad, pakaian dan cenderamata.

Ahmad berkata, seni juga boleh menjadi medium bagi individu autisme untuk mengekspresikan pemikiran dan emosi mereka.

KENANGAN…Senator Dato’ Ahmad Ibrahim merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat yang lain dan peserta sempena Majlis Penutupan Pameran Seni Tahunan KATSN 2026 hari ini. Foto Norman B

“Seni boleh menjadi suara mereka. Pameran ini penting kerana ia menggalakkan kita supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada ketidakupayaan, sebaliknya mengiktiraf kebolehan, kreativiti dan potensi,” katanya.

Beliau turut berharap lebih banyak kerjasama dengan galeri, sektor perniagaan, pereka dan organisasi dapat diwujudkan bagi membantu mengembangkan bakat golongan berkenaan.

Pameran yang memasuki tahun kelima penganjurannya itu menyediakan platform kepada kanak-kanak dan golongan dewasa berkeperluan khas untuk mempamerkan hasil seni, mengembangkan bakat serta membina keyakinan diri.

Oleh Norman B