KOTA BHARU: Sempena Aidilfitri ini, Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) dan sebuah syarikat farmasi menyampaikan bantuan kepada seorang bekas wartawan Berita Harian (BH) Azman Mahmood, 57, yang mengalami sakit saraf kronik sejak empat tahun lepas.
Azman yang turut menderita akibat penyakit kencing manis dan masalah buah pinggang menerima sumbangan berupa wang tunai dan keperluan asas di rumahnya di Kampung Hutan Pasir, Ketereh di sini, semalam.
Pengarah Urusan I Medikal Farmasi Sdn Berhad Hasnah Zakaria berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya untuk membantu meringankan golongan yang memerlukan.
“Hari ini kita rasa terpanggil untuk menyokong usaha yang dilakukan oleh Kemudi menziarahi Azman, dan pihak kami turut serta bagi menyampaikan sumbangan, dan berharap sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban beliau,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, isteri Azman, Nor Sakinah Mohd Nor, 60, bersyukur menerima bantuan itu ketika suaminya kini berada dalam keadaan uzur.
Beliau berkata suaminya yang sudah 17 tahun berkhidmat sebagai wartawan BH menamatkan perkhidmatan pada tahun 2017 selepas menghidap penyakit berkenaan termasuk penyakit buah pinggang yang kini sudah berada di tahap empat.
“Akibat daripada itu, suami saya sukar berjalan selain lemah separuh tubuh di sebelah kanan dan juga turut mengakibatkan mata kanannya menjadi kabur,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kemudi Shahnun Hanif Abdulah Suhaimi berkata Kemudi berbesar hati menerima tajaan I Medikal Farmasi yang tampil membantu Azman.
Katanya, di bulan Ramadan ini pihaknya akan meluaskan lagi sumbangan kepada beberapa lagi bekas wartawan yang terjejas dan sudah uzur.
“Dengan adanya sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) ini ia membuktikan ada pihak lain yang menghargai jasa wartawan dan pihak kelab juga tidak pernah melupakan jasa bekas-bekas ahli yang terlibat,” katanya. — Bernama