LAWAS: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki mengasari bekas isterinya dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 20 Julai 2026, sekitar 4.22 pagi.
Menurut beliau, mangsa mendakwa ditampar dan ditendang oleh suspek yang juga bekas suaminya sehingga mengalami kesakitan serta trauma akibat kejadian itu.
“Susulan laporan tersebut, polis menahan suspek di kediamannya pada 21 Julai 2026, sekitar 11.21 pagi bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, DSP Liong berkata polis turut menerima laporan mengenai satu kes kematian mengejut melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun pada 22 Julai 2026, sekitar 12.02 tengah malam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang tinggal bersama ibunya mengadu sakit kepala sebelum muntah dan tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Lawas untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut oleh doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya.
Oleh Adeng Adrus




