BEKAS penjaga gawang Sarawak Aidil Mohamad yang dikatakan mengalami masalah kesihatan sebelum ini telah kembali bertugas di Pejabat Residen di sini.
Ketika ditemui baru-baru ini, beliau menyatakan keadaannya sudah agak sihat dan menganggap ia sebagai berkat doa orang ramai yang mengenalinya.
“Sekarang keadaan saya agak ‘okey’ dan saya ingin berterima kasih kepada semua yang mendoakan saya supaya sembuh,” ujarnya.
Merupakan anak jati Mukah, Aidil telah mengharumkan nama Bahagian Ke-10 Sarawak ini dalam dunia bola sepak kerana beliau adalah antara penjaga gol yang paling lama pernah menyarung jersi Bujang Senang.
Dan satu perlawanan amal persahabatan untuk membantu bekas penjaga Sarawak berkenaan telah diadakan di Padang Mesra Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) pada bulan Februari lalu.
Pelawanan atau pertembungan antara Pasukan Veteran Bintulu dan Veteran Mukah berkenaan adalah anjuran Persatuan Bolasepak Bahagian Mukah (MUFA).
Aidil yang berasal daripada Kampung Seberang Mukah ini menyarung jersi Sarawak dalam beberapa musim sebelum kontraknya tidak disambung oleh Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) semenjak beberapa tahun lalu.
Selepas itu, bekas penjaga gol ini kembali bertugas di Bandar Mukah ini dan juga sangat aktif dengan kerja sosial selain terlibat dengan bola sepak tempatan.