LONDON: Penjaga gol Aston Villa yang membantu pasukan itu menjuarai Divisyen Pertama England pada 1981, Jimmy Rimmer, meninggal dunia pada usia 78 tahun, lapor PA Media/dpa.
Rimmer, yang beraksi dalam kesemua perlawanan ketika Villa dinobatkan sebagai Juara England, paling dikenang selepas terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan leher hanya selepas sembilan minit ketika pasukannya menjuarai Piala Eropah pada tahun berikutnya dengan menewaskan Bayern Munich 1-0 dalam final di Rotterdam.
Ia merupakan kali kedua beliau menyaksikan rakan sepasukannya menjulang trofi tanpa dirinya dalam perlawanan akhir, selepas sebelum ini hanya berada di bangku simpanan 14 tahun lebih awal ketika Manchester United menewaskan Benfica di Wembley.
Dalam satu kenyataan, Villa berkata: “Aston Villa amat berdukacita menerima berita mengenai pemergian pemenang Piala Eropah, Jimmy Rimmer, yang meninggal dunia pada usia 78 tahun.
“Ingatan dan simpati semua warga kelab ditujukan kepada keluarga serta rakan-rakan Jimmy pada waktu yang amat sukar ini.
“Rimmer merupakan antara penjaga gol terbaik generasinya dan boleh dikatakan antara yang paling malang apabila tiba detik penting. Walaupun memenangi dua pingat juara Piala Eropah, beliau tidak berada di atas padang ketika tamatnya kedua-dua final itu.”
Pemain England yang hanya sekali mewakili negaranya itu digantikan dalam final di Rotterdam oleh penjaga gol simpanan Nigel Spink, yang mencatatkan rekod tanpa bolos ketika Peter Withe menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa kedua, sekali gus memastikan Villa dinobatkan sebagai Juara Eropah buat kali pertama dan setakat ini satu-satunya kali.
Spink kemudian mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaga gol utama di Villa Park manakala Rimmer dijual kepada Swansea setahun kemudian pada 1983 selepas membuat lebih 200 penampilan bersama kelab berkenaan.
Rimmer memulakan kerjayanya di Old Trafford tetapi bergelut untuk menggantikan penjaga gol utama Alex Stepney, sebelum dijual kepada Arsenal pada 1974 dan menyertai Villa tiga tahun kemudian. – Bernama




