SIMANGGANG: Bekas Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Leon Jimat Donald, hari ini memgumumkan penyertaannya dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Menerusi kenyataannya di aplikasi WhatsApp kepada pemberita Utusan Sarawak, beliau memberitahu borang penyertaan dalam PBB berkenaan telah pun disampaikan kepada Ketua Cawangan PBB Balai Ringin, Petrus Igat Mathias merangkap Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak.
“Borang berkenaan telah saya sampaikan kepada beliau (Petrus) ketika berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan PBB Balai Ringin pada 15 Oktober lepas dan disokong oleh Timbalan Ketua Cawangannya, mantan Kaunselor Janggong Sambut,” katanya.
Leon memberitahu, dirinya tidak menceburkan diri secara aktif dalam bidang politik lebih tiga tahun semenjak meletak jawatan sebagai Naib Pengerusi DAP Sarawak dan berhenti menjadi ahli parti itu lebih tiga tahun lepas.
Namun pada 15 Oktober lepas, secara peribadi, beliau memberitahu telah menyatakan hasrat serta niat untuk menyertai PBB demi menyumbang dan meneruskan landasan perjuangan politik.
“Dengan menyertai PBB, saya percaya ini adalah satu langkah yang penting untuk menyumbang kepada komuniti di Sri Aman dan membentuk masa depan yang lebih baik untuk semua.
“Politik selalunya terasa jauh. Namun ia memberi kesan kepada setiap aspek kehidupan kita iaitu daripada pendidikan yang diterima oleh anak-anak kepada penjagaan kesihatan yang bergantung kepada keluarga dan juga kepada jalan yang kita lalui,” katanya.
Leon turut menambah bahawa menyertai PBB adalah menarik disebabkan oleh kepimpinan, disiplin, ketelusan dan komitmen yang ditunjukkan oleh ahli kepimpinan PBB yang diketuai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Malah, prinsip ‘Sarawak First’ yang diperjuang oleh Premier Sarawak sebelum ini kata beliau juga turut membakar semula panji perjuangan politik dalam dirinya dan untuk berjuang kepada rakyat.
“Menyertai parti politik bukan sekadar menyokong dasar kerana ia juga turut melibatkan diri saya dalam dialog, mendengar pelbagai perspektif dan mendorong kebertanggungjawaban.
“Saya tidak sabar untuk berhubung dengan individu yang berfikiran sama, belajar daripada pemimpin yang berpengalaman dan bekerjasama dengan komuniti di Sri Aman,” kata beliau.
Leon turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada ahli-ahli PBB Cawangan Balai Ringin yang sungguh baik hati dan menerima keahlian diri dalam parti politik mereka pada Oktober lepas.
Hadir sama untuk menyaksikan penyerahan borang keahlian PBB daripada Leon adalah Timbalan Ketua Cawangan PBB Balai Ringin, Jonathan Bangau Ahek dan Naib Ketua Cawangannya, Kaunselor Briten Usop.
Leon sebelum ini pernah bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011, 2016 dan 2021 dahulu namun kecundang di tangan penyandang kerusinya, Datuk Francis Harden Hollis.
Oleh Valentine Ngumbang