GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan lebih 100 kes Covid-19 direkodkan dalam penularan jangkitan terbaharu di Beijing.
Badan dunia itu turut memberi amaran mengenai kebangkitan jangkitan Covid-19 selepas banyak negara di Eropah sudah mula mengurangkan perintah berkurung dan memberi kebenaran merentas sempadan.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, meskipun tiada kematian baharu direkodkan setakat ini, keluasan bandar Beijing dan hubungannya menyebabkan risiko penularan itu amat membimbangkan.
“Walaupun ia negara yang mampu mengekang jangkitan, negara lain perlu berwaspada terhadap kemungkinan kebangkitan semula wabak ini.
“Minggu lalu, China melaporkan kluster baharu di Beijing selepas 50 hari tiada kes di bandar itu, tetapi kini lebih 100 kes sudah disahkan.
“Punca dan jangkitan penularan itu ketika ini sedang dikesan,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.
“Namun, Beijing adalah bandar yang besar dan sangat dinamik selain ia menjadi bandar penghubung, inilah yang menjadi kebimbangan.
“Bagaimanapun, seperti yang anda lihat, tahap tindak balas penguatkuasa China terhadap perkara ini amat baik dan kita akan memantau secara dekat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, WHO menawarkan bantuan dan sokongan kepada penguatkuasa China untuk membantu siasatan dan mungkin akan menghantar pasukan ke Beijing dalam masa terdekat.
“Kluster sebegini adalah penting dan perlu disiasat serta dikawal, inilah yang dilakukan China ketika ini,” katanya.
Setakat ini, virus terbabit sudah menjangkiti 8,112,565 orang termasuk 439,050 kematian manakala 4,201,974 mangsa disahkan sembuh, sejak ia mula muncul di China, pada lewat Disember lalu. – AFP