TOKYO: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) memperoleh 10 peratus pegangan dalam Pertama Ferroalloys Sdn. Bhd. melalui Memorandum Persefahaman (MoU) pemindahan saham dalam satu majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.
Perjanjian pemindahan saham itu merupakan satu langkah penting yang menandakan kemajuan bagi pertumbuhan ekonomi, pembangunan komuniti dan inisiatif mampan di Sarawak.
Upacara rasmi menandatangani MoU itu melibatkan Pengerusi dan Pengarah Urusan Pertama Ferroalloys, Hirotaka Suzuki dan Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari.
Majlis disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Antara tetamu kenamaan yang hadir menyaksikan majlis itu termasuk Duta Besar Malaysia ke Jepun, Dato Shahril Effendi Abd Ghany; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi , Dato Sri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni; Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali; Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar; Timbalan Setiausaha kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan pegawai kanan kerajaan Sarawak.
Perkongsian ini membina kejayaan terdahulu yang dicapai oleh Pertama Ferroalloys dan BDA, termasuk projek penanaman buluh yang berjaya dilancarkan pada November 2023, sekali gus mempamerkan dedikasi mereka terhadap amalan mampan dan pemeliharaan alam sekitar.
Dalam ucapannya semasa majlis itu, Hirotaka berkata, perkongsian ini melangkaui pelaburan kewangan kerana ia juga akan memberi sumbangan positif kepada kesejahteraan sosial dan alam sekitar di Sarawak.
Beliau menjangkakan sokongan daripada kedua-dua pihak untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi bukan sahaja di Bintulu tetapi juga di seluruh Sarawak dan Malaysia.
“Inisiatif ini akan meningkatkan kesejahteraan komuniti tempatan, dan juga berfungsi sebagai contoh bagi organisasi dan pemimpin dalam menggerakkan inisiatif mampan di Sarawak, sejajar dengan visi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.
Loji Peleburan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd adalah loji mangan aloi dan ferosilikon berskala besar yang pertama di Malaysia.
Syarikat ini menghasilkan dan mengedar produk aloi mangan kepada industri keluli global sambil memberi keutamaan kepada kelestarian bersama keuntungan.-EDISI UKAS