SARIKEI: Tindakan pantas pasukan bomba menangani dua kejadian tumpahan minyak di Jalan Sirih dan Jalan Pasi, semalam berjaya mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, kedua-dua operasi khidmat khas itu dilaksanakan selepas pihaknya menerima dua panggilan kecemasan berkaitan tumpahan minyak di lokasi berasingan.
Menurutnya, panggilan pertama diterima pada 4.14 petang membabitkan kejadian di Jalan Sirih, sebelum sepasukan anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Kilok Lampas digerakkan ke lokasi pada 4.19 petang.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat tumpahan minyak sepanjang 20 meter di permukaan jalan raya.
“Komander operasi kemudian membuat penilaian awal sebelum mengarahkan anggota menggunakan habuk kayu bagi menyerap dan menutupi tumpahan minyak untuk mengelakkan permukaan jalan menjadi licin,” katanya ketika dihubungi hari ini.



PASUKAN bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di Jalan Sirih dan Jalan Pasi, Sarikei, semalam. Foto BBP Sarikei
Beliau berkata, operasi pembersihan di Jalan Sirih selesai dilaksanakan pada 4.25 petang.
Vincent berkata, pihaknya menerima satu lagi panggilan kecemasan berkaitan kejadian tumpahan minyak di Jalan Pasi pada 4.50 petang sebelum pasukan bomba tiba di lokasi pada 4.55 petang.
“Komander operasi membuat penilaian awal sebelum mengarahkan anggota menggunakan habuk kayu bagi menyerap tumpahan minyak dan memastikan laluan kembali selamat untuk digunakan,” katanya.
Tambahnya, operasi kedua itu tamat pada 5.02 petang selepas kerja-kerja pembersihan selesai dilaksanakan.
Vincent turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan yang mempunyai tumpahan minyak atau permukaan licin serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.
Oleh Earl Anek




