
PETRA JAYA: Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman menyatakan sokongan terhadap peniaga kecil dan menekankan kepentingan bazar Ramadan sebagai platform untuk meningkatkan ekonomi tempatan.

“Bazar Ramadan Emart Matang bukan sahaja memberi peluang kepada peniaga kecil, tetapi juga menyokong ekonomi tempatan dengan memberi akses kepada masyarakat untuk mendapatkan pelbagai juadah dengan mudah,” katanya ketika mengadakan lawatan mesra ke Bazar Ramadan Emart Matang untuk meninjau suasana perniagaan dan beramah mesra dengan para peniaga serta pengunjung.
Beliau tidak melepaskan peluang untuk berinteraksi dengan peniaga bagi mendengar pandangan serta cabaran mereka dalam menjalankan perniagaan sepanjang Ramadan.

Para peniaga menyambut baik lawatan itu dan menghargai keprihatinan beliau yang turun padang untuk memahami keperluan mereka yang mana beliau turut menyampaikan apron dan topi kepada peniaga.
Bazar yang menempatkan sebanyak 63 gerai ini menjadi tumpuan utama penduduk sekitar untuk mendapatkan juadah berbuka puasa. – UKAS