
LAWAS: Polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Lawas yang memaklumkan seorang pesakit kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital berkenaan didapati mengalami kecederaan yang disyaki akibat penderaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, pada malam Ahad sekitar 10.45 malam, seorang bayi lelaki berusia lima bulan telah dibawa ke Hospital Lawas oleh ibunya kerana selesema dan batuk.
“Pemeriksaan oleh pegawai perubatan Hospital Lawas mendapati kanak-kanak berkenaan mempunyai kesan lebam pada badan,” katanya.
“Susulan itu, sepasukan polis telah menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang juga bapa kepada kanak-kanak berkenaan di rumahnya bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine (Amp) dan methamphetamine (Meth).
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Oleh Adeng Edrus