
KUCHING: Bayi yang menjalani pembedahan janin dalam rahim bagi membaiki Spina Bifida pada September tahun lepas di Hospital Umum Sarawak (HUS) kini berada dalam keadaan baik.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata bayi yang kini berusia empat bulan itu membesar dengan sihat dan pemeriksaan klinikal mendapati bayi berkenaan mampu bernafas, menelan serta membuang air dengan baik.
“Lebih menakjubkan kakinya bergerak aktif dan kuat, malah bayi itu langsung tidak memerlukan pembedahan pintasan otak (VP Shunt) selepas dilahirkan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata kejayaan rawatan pranatal tahap tinggi itu membuktikan kerjasama pelbagai disiplin kepakaran tempatan mampu mengubah kualiti hidup seorang kanak-kanak secara drastik.
“Ia pastinya memberikan sinar harapan dan kelegaan amat besar buat keluarga di Malaysia yang mungkin berhadapan dengan diagnosis serupa pada masa hadapan,” katanya.
Dzulkefly berkata dalam lawatan beliau ke HUS semalam, beliau sempat bertemu dengan pasukan yang terlibat dengan pembedahan berkenaan.
Mereka merupakan kumpulan doktor pakar yang telah melakar sejarah negara dengan melaksanakan pembedahan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
“Pembedahan perintis ke atas janin berusia 26 minggu itu satu lonjakan besar buat keupayaan pembedahan khusus negara. Spina Bifida ialah kecacatan kerana tulang belakang janin gagal tertutup sepenuhnya, yang berisiko menyebabkan lumpuh, masalah pundi kencing dan lebihan cecair pada otak.
“Melalui intervensi pakar ketika ibu masih mengandung, saraf tunjang bayi dapat dilindungi daripada kerosakan, manakala komplikasi pernafasan mengancam nyawa dapat dicegah,” katanya. – Bernama