Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kerajaan sasar laksana 500 Kampung Angkat MADANI tahun ini – Fadillah
  • SEMASA

Kerajaan sasar laksana 500 Kampung Angkat MADANI tahun ini – Fadillah

Utusan Sarawak 13 hours ago
TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transfomasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof (tiga, kanan), menandatangani plak perasmian Projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Orang Asli Berasau, Kahang hari ini. Turut hadir Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi (empat, kanan).

KLUANG: Kerajaan menyasarkan pelaksanaan 500 Kampung Angkat MADANI di seluruh negara pada tahun ini, meningkat daripada 219 kampung pada 2025 susulan impak positif program itu dalam memperluas akses kemudahan asas di kawasan luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peluasan itu memperkukuh usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar melalui kerjasama menyeluruh antara kementerian serta agensi.

Beliau berkata inisiatif yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 itu telah memberi manfaat kepada 43 kampung pada tahun pertama pelaksanaannya sebelum meningkat lebih lima kali ganda pada tahun berikutnya.

“Ia merupakan usaha berterusan kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar serta memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika berucap pada majlis penyempurnaan Projek Kampung Angkat MADANI Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Kampung Orang Asli Berasau di sini hari ini. 

Beliau berkata PETRA dipertanggungjawabkan melaksanakan projek di kampung itu dengan peruntukan RM2.5 juta selepas mengenal pasti keperluan utama penduduk iaitu bekalan elektrik 24 jam yang stabil serta kemudahan balai raya bagi kegunaan komuniti.

Fadillah berkata projek berkenaan merangkumi pembinaan balai raya berbumbung solar tertutup serta pemasangan sistem fotovolta bersepadu dengan kapasiti lebih 50 kilowatt puncak dan sistem penyimpanan tenaga bateri sebanyak 516 kilowatt jam, yang mampu membekalkan elektrik berterusan selama 24 jam kepada lebih 20 rumah dan balai raya.

DATUK Seri Fadillah Yusof berucap pada Majlis Perasmian Projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Orang Asli Berasau, Kahang hari ini.

“Ini memberi manfaat kepada penduduk yang sebelum ini bergantung kepada generator untuk bekalan elektrik harian. Kita mahu Kampung Orang Asli Berasau menjadi contoh kepada kampung Orang Asli lain dalam penyediaan kemudahan asas,” katanya.

Beliau berkata kemudahan balai raya itu juga akan dimanfaatkan bagi aktiviti kemasyarakatan dan program sosial penduduk setempat serta kawasan sekitar.

Beliau berkata penyelesaian berasaskan solar itu dipilih kerana penyediaan grid elektrik konvensional memerlukan tempoh lebih panjang serta melibatkan laluan kawasan hutan simpan dan tanah persendirian.

Fadillah berkata projek di Kampung Orang Asli Berasau yang terletak jauh dari jalan utama itu merupakan antara yang pertama seumpamanya menggunakan sistem tenaga solar bersepadu bagi menyokong keperluan komuniti secara menyeluruh.

“Pendekatan berasaskan keperluan setempat itu akan terus diperluas dalam pelaksanaan Kampung Angkat MADANI bagi memastikan lebih banyak kawasan luar bandar mendapat akses kepada kemudahan asas secara berperingkat dan tersusun,” katanya. – Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Bayi jalani pembedahan janin bagi Spina Bifida dalam keadaan baik
Next: Institusi keluarga diutamakan tangani isu warga emas terabai

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.