JOHANNESBURG: Batu-batu misteri yang menyebabkan ribuan penduduk menggali tanah untuk mendapatkannya di sebuah kawasan lereng bukit di timur Afrika Selatan baru-baru ini bukannya berlian tetapi sebenarnya ialah batu kuarza kristal.
Kuarza ialah sejenis galian tidak berwarna yang terdiri daripada silika dioksida dan wujud dalam bentuk hablur serta lutsinar.
Ia kemudian disahkan oleh satu kenyataan kerajaan tempatan pada Ahad setelah satu pasukan pakar-pakar perlombongan dan sains geologi mengambil sampel-sampel batu itu untuk tujuan penyelidikan bagi memastikan batu-batu tersebut ialah berlian.
“Ujian yang dilakukan secara konklusif mendedahkan bahawa batu-batu yang ditemui di kawasan tersebut bukanlah berlian.
“Secara faktanya apa yang ditemui (dalam penyelidikan itu) hanyalah kuarza kristal,” kata satu kenyataan kerajaan tempatan seperti dilaporkan oleh AFP.
Nilai batu kuarza itu di pasaran adalah lebih rendah berbanding dengan berlian. Hasil penyelidikan itu menjejaskan harapan ribuan penduduk miskin yang sanggup pergi ke kawasan lereng bukit tersebut di wilayah KwaZulu-Natal dua minggu lalu bagi menggali tanah untuk mencari baru-batu berkenaan yang disangka sebagai berlian.
Penemuan batu yang disangka berlian itu pertama kali ditemui oleh seorang penggembala kambing sebelum berita tersebut tersebar dengan cepat di Afrika Selatan.
Lokasi menggali kuarza itu terletak lebih 300 kilometer ke tenggara Johannesburg. Ia terletak berhampiran batuan gunung berapi dikenali sebagai dolerit dan bukannya berada di zon tanah yang mengandungi berlian. – AFP