KUALA LUMPUR: Pusat tarikan Battersea Power Station di London, meraikan tahun pertama dengan mencatat lebih daripada 11 juta pengunjung sejak dibuka pada 14 Oktober tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development Company (BPSDC) Simon Murphy menyifatkan pembukaan Power Station dan Electric Boulevard selepas pemulihan transformasi selama sedekad sebagai pencapaian luar biasa selain menjadi bukti komitmen pihak seperti pemegang sahamnya.
“Adalah amat menakjubkan untuk berupaya menyaksikan (transformasi) Battersea Power Station menjadi kawasan kejiranan pinggir sungai yang berkembang pesat sebagaimana sekarang.
“Kami tidak berdiam diri dan akan terus berusaha mengembangkan apa yang mampu ditawarkan oleh pusat bandar baharu ini dalam bulan-bulan serta tahun-tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Battersea Power Station akan turut berperanan sebagai satu-satunya zon peminat rasmi London bagi temasya Sukan Olimpik Musim Panas Paris 2024 susulan kejayaan acara sukan dan temasya bertemakan sukan kejiranan itu, Battersea Games atau Sukan Battersea.
Sejak perasmiannya, lebih daripada 35 premis baharu, restoran dan bercirikan pengalaman riadah telah dibuka yang menjadikan sebanyak 120 kedai komersial di kawasan kejiranan itu seperti Apple Battersea, Bounce Ping Pong, Lego dan Under Armour.
BPSDC berkata, penggunaan kemudahan pengangkutan awam ke kejiranan yang terletak di selatan Sungai Thames juga mencatat peningkatan ketara sejak Oktober 2022.
“Aktiviti keluar masuk ke stesen bawah tanah Battersea Power Station telah meningkat lebih dua kali ganda saban tahun, melepasi lapan juta pergerakan keluar masuk sejak 12 bulan lepas,” katanya.
Bukan setakat itu, aktiviti pergerakan keluar masuk penumpang menggunakan perkhidmatan bas sungai Uber Boat kendalian Thames Clippers, juga masing-masing meningkat lebih 70 peratus dan 85 peratus tahun ke tahun dengan lebih 605,000 penumpang sejak 12 bulan lepas.
BPSDC berkata, pihak Battersea Power Station akan terus meningkatkan penawarannya pada 2023 susulan siapnya 50 Electric Boulevard.
Peruncit yang bakal bertapak termasuk Borough Kitchen Cook Shop & Cook School manakala Boots akan membuka premis kecantikan pertamanya di situ.
Sebanyak 200 pangsapuri di Electric Boulevard dijangka siap menjelang akhir tahun ini yang meningkatkan lagi jumlah komuniti kepada lebih daripada 2,500 penduduk pada masa ini. – Bernama