ALOR SETAR: Batik Air melancarkan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Alor Setar semalam, yang menandakan satu lagi pencapaian penting dalam menghubungkan ibu negara dengan wilayah di utara Malaysia.
Penerbangan sulung yang awalnya dijadualkan pada 5 Disember lepas terpaksa ditangguhkan berikutan banjir yang melanda Kedah, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy dalam kenyataan berkata, laluan Kuala Lumpur-Alor Setar akan beroperasi setiap hari, dengan tujuh penerbangan seminggu menggunakan pesawat Boeing 737 milik Batik Air, yang menawarkan kedua-dua kabin kelas ekonomi dan perniagaan.
Beliau berkata laluan Kuala Lumpur-Alor Setar bukan sahaja langkah penting dalam mengukuhkan hubungan tetapi juga membuka peluang baharu yang menarik untuk pembangunan di negeri-negeri utara Malaysia.
“Laluan ini akan berfungsi sebagai pemangkin kepada pelancongan dan perniagaan, membuka peluang baharu untuk pelaburan dan kerjasama dalam industri utama seperti pertanian, pembuatan dan perdagangan, sambil memudahkan pengembara meneroka potensi yang belum diterokai dan kaya dengan budaya di rantau ini,” katanya.
Turut hadir menyambut ketibaan pesawat Boeing 737 yang membawa 111 penumpang ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim semalam ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah Datuk Mohd Salleh Saidin, Datuk Bandar Alor Setar Mohd Yusri Md Daud dan Pengurus Besar Tourism Kedah Azlizam Jaafar Sidik.
Sementara itu, Mohd Salleh berkata kerajaan negeri mengalu-alukan langkah Batik Air mengadakan penerbangan dari ibu negara ke Kedah yang dilihat dapat merancakkan perhubungan udara antara dua destinasi berkenaan.
“Laluan ini sebenarnya bukan sahaja memudahkan laluan udara antara ibu negara dengan Kedah tetapi juga memainkan peranan utama dalam menyokong kerajaan negeri untuk memperkukuhkan lagi sektor pelancongan Kedah terutamanya sempena Tahun Melawat Kedah 2025,” katanya kepada pemberita pada majlis itu.
Beliau berkata kerajaan negeri juga berharap syarikat-syarikat penerbangan akan terus meningkatkan kekerapan penerbangan ke Kedah pada masa akan datang. – Bernama