SHAH ALAM: Skuad berbasikal Sarawak akhirnya ‘pecah telur’ pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 apabila meraih satu pingat emas dan satu gangsa menerusi acara ujian masa individu lelaki di Lebuhraya SIC & SIC, hari ini.
Afif Darwysh muncul penyumbang emas selepas mencatat masa terpantas 37 minit 12.633 saat, mengatasi pelumba Johor, Muhammad Nazirul Aniq yang meraih perak dengan catatan 37:25.569.
Seorang lagi pelumba Sarawak, Muhammad Danial Hakim turut menaiki podium apabila menamatkan saingan di kedudukan ketiga dengan catatan 37:39.644 untuk menghadiahkan pingat gangsa kepada kontinjen negeri.
ACDM acara berbasikal Sarawak, Dato Ahmad Ibrahim berkata, kejayaan meraih dua pingat itu cukup melegakan selepas skuad berbasikal negeri masih belum memperoleh sebarang pingat dalam beberapa acara terdahulu.
“Alhamdulillah kita dapat satu emas dan satu gangsa daripada ujian masa individu lelaki berdasarkan catatan masa.
“Sayangnya acara wanita pagi tadi kita tidak dapat. Dua hari dalam acara basikal bukit dan downhill juga kita tidak dapat apa-apa. Kita sudah cuba yang terbaik, pasukan dan atlet juga sudah memberikan yang terbaik,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.


Menurut Ahmad, kejayaan Afif dan Danial akhirnya membuka akaun pingat skuad berbasikal Sarawak, sekali gus diharap mampu meningkatkan keyakinan keseluruhan pasukan untuk mengharungi baki saingan.
“Alhamdulillah, petang ini dua pelumba lelaki kita dapat nombor satu dan nombor tiga. Pasukan basikal sudah ‘pecah telur’, kata orang, dan sudah dapat pingat.
“Jadi, harap esok dan lusa semua dapat teruskan. Banyak lagi emas dan pingat lain yang boleh diperoleh daripada acara lelaki dan wanita, insya-Allah. Kita doa yang terbaik,” ujarnya.
Pencapaian itu memberi suntikan penting buat skuad berbasikal Sarawak selepas melalui dua hari pertama tanpa sebarang pingat dalam disiplin basikal bukit termasuk downhill.
Dengan masih terdapat beberapa acara berbaki, Sarawak kini berharap kejayaan Afif dan Danial menjadi titik permulaan untuk skuad berbasikal negeri menambah koleksi pingat pada temasya kali ini.
Oleh Shahrul Qaizat




