
Pemain Barcelona meraikan kejayaan menjuarai Copa del Rey selepas menundukkan Real Madrid 3-2 pada aksi final di Stadium La Cartuja, Seville. – Foto AFP
SEVILLE, Sepanyol: Pemain pertahanan Barcelona, Jules Kounde menyumbat masuk gol kemenangan ketika masa tambahan pada final Copa del Rey Clasico awal pagi tadi di Seville, membantu pasukannya menang 3-2 ke atas musuh tradisi Real Madrid.
Kelab Catalunya itu, yang memburu empat kejuaraan musim ini, menang trofi utama pertama di bawah kendalian jurulatih Hansi Flick dan melebarkan rekod kepada 32 gelaran Piala Sepanyol dengan penuh dramatik.
Pedri meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-28 di La Cartuja namun dua gol Real Madrid dalam tempoh tujuh minit pada babak kedua, menerusi Kylian Mbappe (m-70) dan Aurelien Tchouameni (m-77), membolehkan juara Sepanyol dan Eropah itu pula mendahului.
Bagaimanapun, Ferran Torres menyamakan kedudukan pada minit ke-84 untuk memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan dan Kounde merembat masuk gol kemenangan pada minit ke-116 buat pendahulu La Liga itu.
Pemain pertahanan Antonio Rudiger dibuang padang pada saat akhir kerana dilihat melontarkan objek ke tengah padang ke arah pengadil dan Lucas Vazquez turut dibuang padang kerana bantahan keterlaluan.
“Ia masa yang bagus untuk memberi kegembiraan kepada peminat kami – kami perlu berseronok tetapi tidak boleh lupa separuh akhir Liga Juara-Juara menanti,” kata Torres kepada La 1, dengan Barca melayan kunjungan Inter Milan awal pagi Khamis ini.
“Mereka boleh mengadakan parti – untuk hari ini, ia OK,” kata Flick yang gembira, menang semua tujuh final sepanjang kariernya kepada Movistar.
Madrid bermula dengan penjaring gol terbanyak Mbappe di bangku simpanan selepas kecederaan buku lali dan kehilangan Ferland Mendy pada awal permainan kerana kecederaan paha.
Carlo Ancelotti membawa masuk Fran Garcia di tempatnya, dengan tugas mengekang bintang sayap remaja Barcelona, Lamine Yamal.
Bintang Sepanyol berusia 17 tahun itu, yang mewarnakan rambutnya perang bagi perlawanan itu, mengetuai asakan ke pintu gol dijaga Thibaut Courtois. – AFP