WASHINGTON, Amerika Syarikat: Seorang lelaki yang anak lelakinya menembak mati empat orang di sebuah sekolah tinggi di Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dalam kes jarang berlaku membabitkan ibu bapa yang disabitkan kesalahan berkaitan tindakan jenayah dilakukan oleh anak mereka.
Colin Gray, 55, memberikan senapang jenis AR-15 kepada anaknya, Colt, sebagai hadiah Krismas pada 2023 meskipun telah diberi amaran bahawa remaja itu pernah mengancam untuk melakukan serangan tembakan di sekolah.
Colt Gray, yang kini berusia 16 tahun, mengaku bersalah terhadap serangan di Sekolah Tinggi Apalachee di bandar Winder, Georgia pada September 2024 dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan mendapat parol pada Selasa.
Bapanya, Colin Gray, disabitkan oleh juri pada Mac lalu atas pertuduhan membunuh tahap kedua, menyebabkan kematian tanpa niat serta beberapa kesalahan lain berkaitan serangan yang dilakukan anaknya itu.

Kejadian berkenaan mengorbankan dua pelajar berusia 14 tahun dan dua guru, selain mencederakan sembilan mangsa lain.
“Jelas sekali anda gagal sebagai ibu bapa,” kata Hakim Mahkamah Tinggi, Nicholas Primm, kepada Gray ketika prosiding hukuman.
“Anda tidak menyediakan rumah tangga yang stabil. Anda tidak memastikan dia bersekolah.
“Semua kegagalan itu tidak membantu kes anda. Namun, itu bukan sebab anda disabitkan kesalahan. Anda disabitkan kerana tanda-tanda amaran semakin jelas, tetapi anda tidak mendapatkan bantuan untuknya dan tidak menghalangnya daripada mengakses senjata api,” katanya.
Kes tembakan di sekolah merupakan kejadian yang kerap berlaku di AS, negara yang mempunyai jumlah senjata api melebihi populasi penduduknya serta peraturan pembelian senjata, termasuk senapang berkuasa tinggi berkonsepkan ketenteraan, yang agak longgar.
Tanggungjawab ibu bapa dalam kes tembakan besar-besaran semakin mendapat perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ibu bapa kepada seorang remaja yang menembak mati empat individu di sebuah sekolah tinggi di Michigan pada 2021 disabitkan kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat pada 2024 dan dijatuhi hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dalam kes pertama seumpamanya yang mendapat perhatian meluas.
Jennifer dan James Crumbley menjadi pasangan ibu bapa pertama kepada penembak sekolah yang disabitkan kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat di AS atas tindakan yang dilakukan oleh anak mereka.
Colin Gray dipercayai menjadi ibu bapa pertama yang didakwa dan disabitkan kesalahan membunuh berkaitan kejadian tembakan yang dilakukan oleh anaknya. — AFP



