KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan diminta untuk memberi perhatian khusus keadaan kuarters, berek kediaman yang tidak konduksif dan pembinaan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) yang perlu dinaik taraf dan dibina baharu di Sarawak.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata isu ini sering menjadi igauan dan perhatian utama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bumi Kenyalang.
“Selain daripada masalah isu baikpulih dan naiktaraf kuaters yang uzur, isu seperti kuarters dan berek kediaman yang sudah roboh dan tidak diganti atau dibina baru juga menjadi isu yang harus diambil perhatian oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Isu pembinaan IPD baharu di beberapa daerah tertentu di Sarawak seharusnya diberi perhatian dan keutamaan oleh kerajaan kerana masih banyak IPD di Sarawak sudah lama dan terlalu kecil serta sempit dengan pertambahan anggota baharu.
“Saya lihat ada IPD dan IPK yang kelihatan seperti tidak diselenggarakan, seperti IPK Sibu, kalau kita lihat dari luar, bangunan pejabat dan kuarters mereka seperti tidak diselenggarakan dan sangat buruk dipandang mata.
“Begitu juga sistem pendawaian elektrik yang lama dan lif yang sering rosak serta sistem kumbahan yang selalu bermasalah merupakan isu yang harus diberi perhatian dan tindakan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam.
Berikutan itu, Ahmad Johnie mengajukan persoalan berikut untuk perhatian kerajaan khususnya KDN iaitu:
- Berapakah jumlah kuarters atau berek kediaman PDRM di Sarawak yang dalam perancangan untuk dinaik taraf atau dibina baharu pada RMK-12;
- Berapakah IPD baharu yang akan dilaksanakan pembinaan atau dinaiktaraf di Sarawak dalam RMK-12 ini. Perkara ini penting kerana daerah pentadbiran kerajaan Sarawak kini sudah bertambah.
- Memohon YB Menteri nyatakan kawasan manakah yang terlibat dengan projek naik taraf dan bina baharu kuarters dan IPD ini nanti serta nyatakan kos yang terlibat bagi setiap projek yang akan dilaksanakan.
Mengenai IPD di kawasan Parlimen Igan, Ahmad Johnie menyatakan IPD Matu-Daro sangat memerlukan sebuah IPD baharu seiring dengan kepesatan pembangunan dan pertambahan jumlah penduduk di kawasan itu.
Untuk rekod, katanya, bangunan dan pejabat di sekitar IPD Matu-Daro dibina pada 1980 dan kini berusia lebih kurang 43 tahun.
“Oleh sebab itu, terdapat berek kayu dan kuarters kayu yang terpaksa dijadikan pejabat kerana IPD ini tidak mempunyai ruang pejabat yang cukup serta tidak konduksif untuk dijadikan pejabat.
“Selain itu, kawasan IPD ini juga sering dinaiki air apabila berlaku fenomena air pasang besar dan musim terkujuh. Oleh sebab itulah sayaxmemohon kepada kerajaan agar sebuah IPD baharu dibina di kawasan saya,” katanya.