ELLIE EDWARD
BINTULU: Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki fasa 4 namun bantuan bekalan makanan kepada golongan yang memerlukan di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samalaju masih diteruskan.
Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Thomas Nyaring Mawan berkata, bantuan bekalan makanan Negeri Sarawak di kawasan DUN berkenaan diteruskan namun diagihkan secara berperingkat-peringkat.
“Pengagihan bantuan bekalan makanan bagi kawasan DUN Samalaju masih diteruskan sehingga kini khususnya kepada golongan terjejas akibat PKP,” katanya kepada media di sini semalam.
Menurutnya, setakat semalam sekitar 10,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di DUN berkenaan telah menerima agihan bantuan makanan tersebut.
“Berdasarkan maklumat Pejabat Daerah Bintulu, di bawah DUN Samalaju mempunyai seramai 11,800 KIR,” katanya.
Tambahnya, bantuan yang disalurkan mendapat kerjasama Pusat Khidmat DUN Samalaju, Pejabat Daerah Bintulu dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Bintulu.
“Kita berterima kasih kepada Petronas dan ABF yang turut serta menyumbang bantuan bagi meringankan beban penduduk terjejas di DUN ini,” katanya.
Jelasnya, bantuan tersebut juga diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman, luar bandar, pinggir bandar dan kawasan bandar termasuk penduduk di kawasan setinggan dan penyewa.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat supaya mematuhi PKP dan menjaga kebersihan demi kesihatan diri dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19.