
SIBU: Sebanyak 41 surau dan masjid di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka menerima sumbangan berjumlah RM205,000 bagi membantu menjalankan program serta kegunaan semasa Ramadan ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, sumbangan tahunan itu daripada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS).
“Ini satu sumbangan daripada Pusat Khidmat DUN Nangka bersama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu. Setiap tahun kita ada menghulurkan sedikit bantuan khusus untuk program ataupun kegunaan sepanjang Ramadan.
“Tidak banyak, RM5,000 sahaja untuk setiap surau dan masjid tanpa mengira besar atau kecil surau atau masjid terbabit,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian sumbangan khas tersebut di Masjid An-Nur Sibu, semalam.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka memberitahu, sumbangan turut diberikan kepada surau di kem tentera dan sekolah.
“Keseluruhan 41 buah yang kita sampaikan pada hari ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM205,000.
“Saya berharap supaya sumbangan sedikit sebanyak dapat meringankan dan juga mengimarahkan lagi surau kita untuk Ramadan,” katanya.
Oleh Akun Giman