KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyeru konvoi bermotosikal agar membantu usaha kementerian mempromosikan pelancongan domestik menerusi penciptaan kandungan untuk media sosial ketika berkunjung ke kawasan pelancongan.
Menterinya Datuk Seri Nancy Syukri berkata, peserta aktiviti konvoi bermotosikal yang meneroka dan menjelajah destinasi pelancongan mampu menjadi duta kecil MOTAC untuk mempromosikan tempat pelancongan, makanan popular dan warisan seni budaya tanah air.
“Saya menyeru, ambillah peluang ini untuk bersaing mencipta pengisian bagi mempromosi tempat-tempat pelancongan, makanan popular dan tidak lupa warisan seni budaya tanah air. Jadilah ‘storyteller’ atau duta kecil (industri) pelancongan, seni dan budaya.
“Mereka (konvoi bermotosikal) ceritakan pengalaman anda di media sosial agar menarik lebih ramai rakyat untuk melancong dalam negara dan merancakkan ekonomi setempat,” katanya berucap pada majlis pelepasan Konvoi Semarak Merdeka Sempena Mempromosikan Pelancongan Domestik dan Bulan Kebangsaan 2020 di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) semalam.
Hadir sama Pengerusi Fast Bikes Club Fadzlaini Ibrahim dan Pengerusi Reappear Motorcycle Club Mohd Hemy Azizan.
Seramai 91 penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada kelab permotoran Fast Bikes Club dan Reappear MC seluruh negara berkonvoi ke tiga daerah di Melaka selama tiga hari hingga 30 Ogos ini bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan mempromosikan destinasi pelancongan domestik. – Bernama