JAKARTA: Timbalan Gabenor Bank Indonesia (BI) Juda Agung, memberi jaminan bahawa bank pusat akan membekukan akaun bank yang mempunyai kaitan dengan perjudian dalam talian dengan kerjasama penyedia perkhidmatan pembayaran, kedua-dua bank dan bukan bank.
“Penyedia perkhidmatan pembayaran, kedua-dua bank dan bukan bank, mesti mempunyai sistem pengesanan penipuan (disediakan) untuk mengenal pasti akaun yang digunakan untuk transaksi perjudian dalam talian dan penipuan lain,” katanya pada sidang media di pejabat Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital di sini pada Khamis.
Selepas penyedia perkhidmatan pembayaran mengesan akaun yang disyaki terlibat dalam perjudian dalam talian, akaun itu mesti dilaporkan kepada BI dengan segera, lapor agensi berita ANTARA.
Akaun akan dikesan oleh BI dan dibekukan. Dengan cara itu, pemegang akaun tidak lagi dapat mengeluarkan wang atau menggunakan akaun untuk transaksi.
Agung menjelaskan setakat ini BI membekukan 7,500 akaun yang dikaitkan dengan perjudian dalam talian.
Bank pusat juga terus menjalankan penyebaran maklumat mengenai risiko perjudian dalam talian kepada masyarakat.
“Kami terus mendidik mereka melalui televisyen dan media sosial,” tegasnya.
Beliau memberi jaminan bahawa BI akan terus mengambil tindakan terhadap akaun bank yang berkaitan dengan perjudian dalam talian sehingga aktiviti perjudian dalam talian dihapuskan di negara ini.
Pada kesempatan sama, Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Meutya Hafid berkata bulan ini, meja pembasmian perjudian dalam talian mengemukakan 651 permintaan untuk menyekat akaun bank yang berkaitan dengan aktiviti perjudian dalam talian.
Tambah beliau kerjasama yang kukuh dengan bank dijangka menyempitkan skop aktiviti perjudian dalam talian.
Hafid seterusnya berkata 104,819 laman sesawang berkaitan perjudian dalam talian telah diturunkan sejak penubuhan meja pembasmian perjudian dalam talian pada 4 November 2024.
“Jika kita kira dari 20 Oktober atau permulaan kerajaan baharu, jumlahnya telah mencecah sekitar 380,000,” tambahnya. – BERNAMA-ANTARA