Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Bank buat STR, ada keraguan dalam transaksi kepada Bersatu – Pegawai bank
  • MAHKAMAH

Bank buat STR, ada keraguan dalam transaksi kepada Bersatu – Pegawai bank

Utusan Sarawak 3 hours ago
TAN Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pihaknya membuat Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) terhadap hampir kesemua transaksi kepada parti politik Bersatu berikutan terdapat keraguan dalam transaksi tersebut.

Penolong Pengurus Cawangan Bank Muamalat di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam, Norazeanti Miswan, 39, berkata menjadi tanggungjawab pegawai bank untuk melaporkan sebarang transaksi atau aktiviti mencurigakan melalui laporan aktiviti meragukan iaitu internal STR kepada pihak ibu pejabat.

“Namun, saya tidak pasti tindakan susulan atau proses selanjutnya kerana ia dilakukan pihak ibu pejabat,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Noralis Mat pada perbicaraan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalah guna kedudukan dan pengubahan wang haram.

Semalam, Norazeanti dalam keterangannya berkata terdapat jumlah transaksi yang besar dan kerap berjumlah RM19.5 juta dimasukkan ke dalam akaun Bersatu antara 2021 hingga penghujung 2022 selain terdapat keraguan dalam transaksi dilakukan syarikat Mamfor Sdn Bhd.

Sementara itu, Norazeanti berkata walaupun transaksi itu dilakukan pelanggan bank, sekiranya terdapat keraguan sama ada perkara itu betul atau sebaliknya, pihaknya perlu melaporkannya.

“Betul atau salah pada saya bukan isunya tetapi jika timbul sahaja keraguan itu menjadi tanggungjawab untuk melaporkan…jadi apabila ada sahaja yang lain daripada kebiasaan, saya rasa menjadi tanggungjawab saya melaporkannya,” kata saksi itu.

Kepada soalan peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin sama ada Norazeanti setuju bahawa internal STR adalah satu prosedur untuk melindungi pihak bank daripada dikenakan sebarang tindakan pihak berkuasa, contohnya Bank Negara Malaysia, Norazeanti menjawab setuju.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa kesemua transaksi itu direkodkan oleh pihak bank dan tiada apa yang disembunyikan berhubung transaksi tersebut.

Norazeanti juga setuju bahawa kesemua cek dan surat sokongan jelas membuktikan bahawa sumbangan syarikat Mamfor kepada Bersatu adalah sumbangan telus dan saksi juga mengakui bahawa sumbangan berkenaan dibuat kepada Bersatu dan bukan kepada Muhyiddin.

Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung 25 Mei depan.- Bernama

Continue Reading

Previous: Lelaki didenda RM100,000 miliki 38,000 liter diesel tanpa permit
Next: Lelaki 59 tahun dipenjara 16 tahun, sebat tiga kali kes rogol remaja OKU

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.