KELIHATAN dua lelaki membersihkan kawasan jalan yang kotor selepas banjir teruk di Daerah Gangnam di Seoul,
Korea Selatan. • Foto AFP
SEOUL: Stesen kereta api bawah tanah dan jalan raya utama berada di bawah air di ibu negara Korea Selatan, Seoul selepas hujan lebat menyebabkan banjir teruk, dengan sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan tujuh lagi hilang, kata pegawai semalam..
Pihak berkuasa memberi amaran tentang lebih banyak hujan akan datang walaupun pekerja kecemasan cuba membersihkan timbunan kereta yang ditenggelami air dan berselerak di persimpangan jalan utama di seluruh bandar.
Imej dramatik yang dikongsi di media sosial menunjukkan orang ramai mengharungi air hingga paras pinggang, stesen metro melimpah, dan kereta separuh tenggelam di Daerah Gangnam yang terjejas teruk akibat hujan lebat.
Menurut Agensi Berita Yonhap Seoul, hujan lebat yang bermula sejak Isnin lalu adalah hujan paling lebat di Korea Selatan dalam tempoh 80 tahun,
“Sekurang-kurangnya tujuh orang maut di kawasan metropolitan Seoul, manakala tujuh lagi hilang, akibat hujan lebat setakat 7.30 pagi ini (semalam),” kata seorang pegawai di Kementerian Dalam Negeri Seoul.
Laporan tempatan berkata, tiga orang yang tinggal di ‘banjiha’, flat bawah tanah sempit jenis yang terkenal dalam filem “Parasite” Bong Joon-ho yang memenangi Oscar termasuk seorang remaja maut ketika pangsapuri mereka ditenggelami air banjir.
Gangnam, daerah kaya di selatan Seoul yang dipaparkan dalam lagu K-pop, Psy iaitu “Gangnam Style” pada 2012 menerima 326.5 milimeter hujan pada Isnin lalu, menurut data dari Pentadbiran Meteorologi Korea.
Yonhap berkata, hujan lebat itu adalah yang paling lebat direkodkan sejak 1942.
Presiden Yoon Suk-yeol mengarahkan pegawai kerajaan mengosongkan penduduk dari kawasan berisiko tinggi dan menggalakkan perniagaan membenarkan pekerja waktu ulang-alik fleksibel.
“Hujan lebat yang memecahkan rekod di wilayah tengah sejak semalam (Isnin) menyebabkan banyak kerosakan, termasuk nyawa penduduk,” kata Yoon di Facebook semalam, sambil menambah kerajaan akan menyediakan pemulihan segera dan sokongan kerosakan.
Kejiranan berhampiran kediaman Presiden di selatan Seoul juga terjejas dengan imej banjir yang disiarkan di media sosial.
Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) memberi amaran kepada rakyat Korea Selatan supaya berhati-hati dengan hujan lebat, tiupan angin, serta guruh dan kilat di wilayah tengah untuk beberapa hari akan datang.
KMA juga berkata bahawa, sehingga 300 lebih milimeter hujan diramalkan untuk wilayah tengah termasuk Seoul hingga Khamis ini,
Gangguan bekalan elektrik dilaporkan di seluruh ibu negara juga berlaku pada Isnin lalu, manakala beberapa operasi perkhidmatan metro dan kereta api Seoul terganggu buat sementara waktu.
Terminal Bas Ekspres Seoul di Gangnam ditenggelami air dan air banjir juga memasuki kafe dan perpustakaan di Pusat Konvensyen dan Pameran COEX di kawasan yang sama.
Imej seorang lelaki berpakaian sut duduk di atas hud kenderaan yang tenggelam di Daerah Gangnam menjadi tular, begitu juga dengan video dramatik yang menunjukkan jalan lampu elektrik terputus disebabkan banjir.
Korea Selatan kekal ‘sangat terganggu’ dengan banyak jalan raya dan terowong ditutup atas sebab keselamatan, lapor Yonhap. Laluan kembara di kebanyakan taman negara di negara itu ditutup dan laluan feri penumpang, termasuk dari Pelabuhan Incheon juga digantung. AFP