SEPANG: Pesawat kargo khas dari Pakistan yang membawa sumbangan banjir peringkat pertama untuk rakyat Malaysia, selamat mendarat di Terminal MASKargo, di sini, hari ini.
Pesawat sewaan khas itu tiba kira-kira jam 4.30 petang tadi setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad pada jam 5.30 pagi (waktu Pakistan).
Ia antara lain membawa 40 tan barangan meliputi selimut, khemah keluarga, beg tidur, jaket keselamatan dan tikar untuk mangsa banjir di seluruh negara ini.
Inisiatif itu adalah susulan hasrat yang dizahirkan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, untuk menghantar sumbangan bertujuan meringankan beban rakyat Malaysia yang terkesan banjir, sebagai tanda solidariti dan kebersamaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara berkenaan dizahirkan rakan sejawatnya itu melalui perbualan telefon pada petang 30 November lalu, dan Shehbaz turut menyatakan simpati kepada Malaysia susulan musibah terbabit.
Sementara itu Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah, berkata langkah berkenaan diambil sebagai respons kepada bencana banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia, dan bantuan terbabit mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara.
“Sebaik saja Perdana Menteri Pakistan tahu mengenai banjir yang menjejaskan enam atau tujuh negeri dan terdapat banyak kerosakan harta benda dan nyawa, beliau bercakap dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim… bukan hanya untuk menyampaikan simpati serta dukungan kerajaan dan rakyat Pakistan, tetapi juga berhasrat untuk mengambil bahagian dalam sokongan ini.
“(Bantuan kemanusiaan) ini ialah refleksi dan manisfestasi (keprihatinan Pakistan), sumbangan ini tanda sokongan kecil kami kepada saudara di Malaysia, untuk membantu Kerajaan Malaysia dalam usaha memberi bantuan kepada negeri-negeri yang terjejas sehingga mengalami banyak kerugian,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas pesawat khas yang membawa bekalan bantuan itu mendarat di sini.
Beliau turut mengucapkan penghargaan atas kerjasama daripada agensi Malaysia, terutama Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atas sokongan tidak berbelah bahagi serta dedikasi mereka yang membolehkan bantuan itu disampaikan tepat pada masanya.
“Sudah tentu setiap kali perkara sebegini berlaku di Pakistan, bencana alam (dan sebagainya), kami sentiasa menerima bantuan daripada saudara di Malaysia. Hari ini ialah bantuan kecil kami yang mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara dan berterima kasih atas sokongan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) NADMA, Meor Ismail Meor Akim, berkata sumbangan diterima daripada Pakistan berjumlah 80 tan dan pesawat kargo yang membawa sumbangan peringkat kedua akan tiba di Malaysia pada 11 Disember ini dengan muatan 40 tan (barangan sama).
Beliau berkata, NADMA telah membuat persediaan rapi untuk menerima sumbangan terbabit dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Nasional Pakistan bersama agensi kerajaan lain, antaranya Wisma Putra, Kementerian Pertahanan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ditanya mengenai kaedah pengagihan sumbangan itu pula, beliau berkata, perkara berkenaan akan diputuskan kelak selepas mesyuarat koordinasi diadakan.
“Hal itu belum diputuskan lagi, sebenarnya negara belum habis (bencana), baru mula. Kita jangka ada lebih lagi episod bencana berlaku, kita akan tengok keadaan nanti. Buat masa ini, semua barangan ini akan ditempatkan di depoh simpanan sebelum diagihkan kepada mangsa bencana,” katanya. – BERNAMA