SERIAN: Empat seksyen di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak terjejas akibat banjir yang melanda negeri ini.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata empat seksyen tersebut melibatkan kawasan di Serian, Selangau, Bakun dan Pujut.
“Yang paling penting buat masa ini semua jalan-jalan tersebut masih boleh dilalui kenderaan termasuk kenderaan yang ringan dan tiada mana-mana jalan Pan Borneo di sini yang perlu ditutup akibat banjir.
“Keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya adalah keutamaan kami,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi Lebuhraya Pan Borneo yang terjejas banjir di sini hari ini.
Beliau berkata setakat ini juga tiada kerosakan lebuh raya lebuh raya dilaporkan dan pemantauan secara berterusan juga akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
“Kita juga ada juga menerima laporan mengenai tanah runtuh melibatkan jalan di Daerah Song dan bagi mengatasi isu ini JKR Sarawak telah membina satu jalan sementara yang dilengkapi batu supaya tidak licin,” katanya.
Orang ramai boleh melaporkan kejadian jalan terputus atau terjejas akibat banjir kepada pihak JKR Sarawak melalui platform media sosial seperti Facebook, TikTok atau melalui aplikasi WhatsApp (011-7017 1777).