
PETRA JAYA: Isu banjir kilat di Miri, kelewatan pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) serta pembangunan luar bandar antara perkara utama dibangkitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Adam Yii Siew Sang (GPS-Pujut) berkata masalah banjir kilat di Miri semakin serius terutama ketika hujan lebat dan fenomena air pasang besar.
Menurut beliau, perubahan iklim serta peningkatan paras laut menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak lagi mampu menampung peningkatan jumlah air dalam tempoh singkat.
Katanya, keadaan menjadi lebih kritikal di kawasan rendah terutama ketika air pasang besar apabila aliran keluar sistem saliran menjadi perlahan sehingga menyebabkan banjir dan takungan air berpanjangan di kawasan perumahan.
“Langkah tebatan banjir tidak lagi boleh dianggap isu bermusim semata-mata tetapi perlu dijadikan keutamaan pembangunan infrastruktur jangka panjang,” katanya ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri di DUN hari ini.

Beliau turut menggesa lebih banyak peruntukan disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi melaksanakan projek tebatan banjir termasuk menaik taraf sistem perparitan, pembinaan kolam takungan serta kerja penyelenggaraan sungai.
Selain itu, Adam turut membangkitkan isu kelewatan pelaksanaan projek menaik taraf bulatan berhampiran GK Supermarket di Pujut 3 meskipun telah diluluskan sejak beberapa tahun lalu.
Beliau juga membangkitkan masalah dihadapi penduduk dalam skim penempatan semula Kampung Lusut di Pujut termasuk isu pertindihan lot, kekurangan jalan akses dan kelewatan pengesahan tapak oleh Jabatan Tanah dan Survei.
Sementara itu, Datuk Miro Simuh (GPS-Serembu) berkata isu pengukuran tanah NCR di kawasan Bau, Padawan dan Serian masih perlu diberi perhatian serius kerana prosesnya yang terlalu perlahan memberi kesan kepada penduduk luar bandar.

Menurut beliau, ramai penduduk masih belum memperoleh geran atau pengiktirafan rasmi terhadap tanah mereka walaupun telah lama menduduki kawasan terbabit.
“Kelewatan ini memberi implikasi besar kepada rakyat. Tanpa geran atau pengiktirafan rasmi, penduduk sukar mendapatkan pinjaman pertanian dan membangunkan tanah secara komersial,” katanya.
Beliau turut mencadangkan konsep bilik darjah digital diperluaskan ke sekolah rendah luar bandar bagi mengurangkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.
Selain itu, beliau turut mencadangkan penubuhan Lembaga Industri Ternakan Sarawak bagi memperkukuh pembangunan industri ternakan serta membantu penternak tempatan meningkatkan pengeluaran.
Miro turut membangkitkan potensi industri kopi liberica di kawasan Tringgus, Krokong dan Gumbang serta menggesa bantuan subsidi baja disediakan bagi membantu pekebun kecil meningkatkan hasil pengeluaran.
Dalam perkembangan sama, See Chee How (Bebas-Batu Lintang) berkata Sarawak perlu terus memperkukuh pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hijau bagi memastikan negeri ini kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Menurut beliau, dasar peralihan tenaga dan pembangunan teknologi hijau penting bagi menjamin keselamatan tenaga dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang Sarawak.
Oleh Shahrul Qaizat