MARUDI: Banjir yang melanda kawasan Long Bemang di pedalaman Hulu Baram Marudi tidak mematahkan semangat pengundi untuk turun menunaikan kewajipan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Masyarakat di pedalaman itu sanggup meredah banjir demi tanggungjawab kepada negara dan menuruti kehendak alan demokrasi bagi memilih wakil rakyat mereka.
Sementara itu, jurucakap Pegawai Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan berkata lima orang anggota ditugaskan ke lokasi bagi memantau keadaan sekitar.
Menurutnya, setakat 12.24 tengahari hari ini, paras air ialah 1.10 kaki dan menunjukkan trend menurun.
“Keadaan banjir di SK Long Bemang, Klinik Kesihatan Long Bemang dan Kampung Long Bemang beransur surut.
“Antara lokasi pemantauan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang, Klinik Kesihatan Long Bemang dan Kampung Long Bemang.
“Cuaca pada hari mengundi (hari ini) kelihatan mendung, namun proses pengundian masih berjalan lancar,” katanya.
Selain itu, tiada perpindahan yang dilakukan manakala bekalan elektrik ditutup sejak Selasa lalu untuk keselamatan penduduk kampung.
Untuk rekod, Kampung Long Bemang dilanda banjir sejak Selasa lalu dengan 103 rumah dan 530 penduduk terjejas.