DALAM kalangan masyarakat Arab, Baklava biasanya dihidangkan pada majlis istimewa, terutama semasa majlis keagamaan.
Nampaknya sekarang ini trend makanan Arab yang menjadi pilihan ramai orang. Buktinya semasa bulan puasa dahulu tular kisah orang beratur panjang untuk mendapatkan Nasi Arab Chef Ammar dan semasa Festival Makanan Kuching baru-baru ini pula, orang ramai juga sanggup beratur panjang untuk mendapatkan Kunafa yang dijual di salah sebuah gerai di situ.
Sebelum ini pun orang kita memang sudah biasa dengan makanan Arab seperti Kebab, tetapi ada satu lagi juadah pencuci mulut Arab yang tidak kurang popularnya iaitu Baklava. Bagi yang sukakan makanan manis, maka Baklava mungkin satu pilihan baik kerana selain enak, ia juga diperbuat daripada bahan-bahan yang menyihatkan.
Lazimnya makanan Arab tidak lari daripada rempah dan kekacang, terutama almond, biji gajus, pistachio, kacang hazel dan banyak lagi. Satu lagi bahan utama Baklava adalah madu bagi menerbitkan gabungan rasa lemak manis makanan ini.
Dalam kalangan masyarakat Arab, Baklava biasanya dihidangkan pada majlis istimewa, terutama semasa majlis keagamaan. Namun sekarang ini Baklava sudah dikomersialkan secara besar-besaran di seluruh dunia, justeru ia boleh dinikmati dan ditemui pada bila-bila masa.
Mereka yang pakar menghasilkan Baklava memberitahu bahawa pembuatan makanan ini nampak mudah tetapi jika jumlah bahan-bahan tidak seimbang, hasilnya jadi tidak enak. Bahagian yang paling penting adalah pastrinya yang dihasilkan daripada tepung, air, cuka dan minyak zaitun.
Pastri filo Baklava biasanya rendah kalori dan bebas daripada lemak trans dan lemak tepu, manakala rasa manisnya datang daripada madu. Sebagaimana yang diketahui, madu adalah bahan yang boleh membantu mengawal tahap gula dalam darah dan boleh juga menentang kanser.
Aspek paling sukar di dalam proses pembuatannya adalah pastri yang perlu benar-benar nipis, halus dan tersusun rapi.
Dalam kalangan orang Arab, memakan Baklava ada tata tertibnya. Biasanya sebelum memakan Baklava, mereka akan meneguk air kosong terlebih dahulu dan cara memakannnya adalah dengan meletakkan bahagian bawah Baklava ke lidah dan mula memakannya.
Baklava mempunyai jangka hayat yang agak panjang iaitu sehingga dua minggu jika dibiarkan di luar peti sejuk dan di dalam bekas kedap udara.
Oleh HAINI DARANI