TAHNIAH DAN SYABAS… Amirul Fikri Hamdan antara pelajar terbaik FSKPM kerana memperolehi kepujian dekan sepanjang enam semester.
Mendapat kepujian dekan pada setiap semester bukanlah sesuatu perkara yang mudah dicapai kerana memerlukan kerahan keringat.
Seorang pelajar Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM) dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Amirul Fikri Hamdan, 23 tahun berkata, selepas menamatkan pengajian di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan kepujian dekan iaitu dengan berbekalkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.67, beliau mengambil keputusan untuk menyambung pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana muda.
Walaupun tidak berjaya ditawarkan dalam bidang yang diminati iaitu bidang pendidikan, namun beliau percaya bahawa rezeki dalam menimba ilmu pendidikan adalah sangat luas.
“Walaupun saya tidak mendapat kursus atau program yang saya inginkan tapi saya percaya bahawa rezeki Tuhan adalah itu luas.
“Apa yang penting adalah usaha kita itu sendiri dalam mengejar impian dan kejayaan”, katanya ketika ditemu ramah oleh pemberita pada Jumaat lalu.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pada tahun 2019 yang lalu, beliau telah ditawarkan dalam Ijazah Sarjana Muda (Bimbingan dan Kaunseling) dengan kepujian, di UNIMAS.
Peluang masuk ke universiti tersebut telah digunakan sebaik mungkin, di mana beliau telah mencapai kepujian dekan sepanjang enam semester berturut-turut dan hanya berbaki dua semester sahaja lagi.
Sehubungan dengan itu, beliau telah berkongsi beberapa petua dan rahsia tentang kejayaan yang telah dikecapinya itu.
“Walaupun bagi setiap orang cara belajar itu berbeza, tapi bagi saya ia haruslah merangkumi persediaan masa belajar yang baik, teknik belajar yang betul, pembelajaran dalam kumpulan, memberi perhatian kepada masa rehat, dan membuat ringkasan pembelajaran untuk setiap subjek atau bab yang kita pelajari.
“Ringkasan pembelajaran itu sangat penting bagi memudahkan kita mengambil isi-isi penting untuk setiap bab yang kita pelajari.
“Perhatian kepada masa rehat juga penting kerana dari situlah kita dapat mengurus dan menangani stres dengan bijak.
“Bukan itu sahaja, kita haruslah memberi perhatian yang sepenuhnya dan ketepikan hal-hal lain semasa pensyarah mengajar, kerana dari situlah kita dapat info yang penting luar daripada buku teks serta bertanya jika tidak faham apa yang diajar.
“Walaupun perih untuk mendapatkan segulung ijazah, tapi ingatlah manisnya kejayaan itu nanti, lebih-lebih lagi ia adalah berkat usaha penat lelah kita sendiri”, katanya.
Beliau yang juga merupakan anak tempatan yang berasal dari Kampung Selangkin, Simunjan turut berkata, sebagai seorang individu yang bergelar pelajar, keseimbangan pencapaian dari segi akademik dan kokurikulum itu amatlah penting.
“Jangan sesekali ambil mudah tentang penglibatan kita dalam kokurikulum kerana ia juga mengajar kita erti kepimpinan yang sebenar di samping mencipta pergaulan yang positif”, katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memasang impian untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan seterusnya ke peringkat doktor falsafah serta bercita-cita menjadi seorang kaunselor suatu hari nanti.
Beliau berharap kejayaannya ini dapat memberi inspirasi khususnya kepada adik beradiknya yang lain dan para pelajar amnya.
Untuk makluman, Amirul Fikri Hamdan atau lebih dikenali sebagai Mirul ialah anak sulung dari lima orang adik beradik dan bekas pelajar tingkatan enam di Pusat Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kebangsaan Simunjan No.1.
Oleh NICKELYSON LAKUN