SKUAD Pusat Cemerlang (PC) Sri Aman A dan B akan memberikan tentangan yang sengit kepada pesaing-pesaingnya dalam kejohanan Kejohanan Sepak Takraw Piala Belia bawah 21 Tahun Sarawak 2024 bermula hari ini sehingga esok di Dewan Persatuan Sepak Takraw Sarawak, Petra Jaya.
Pengurus pasukan PC Sri Aman, Alexander Frusis berharap para pemain yang dipilih menggalaskan tanggung jawab itu menonjolkan permainan yang terbaik sepanjang kejohanan itu berlangsung.
“Saya juga berharap pemain muda Sri Aman akan terpilih ke Skuad Elit Sepak Takraw Sarawak sekaligus mewakili Sarawak ke Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 memandangkan metua jurulatih Sepak Takraw Sarawak akan menilai pemain muda yang berkaliber untuk diserap masuk ke kem latihan Pusat Sarawak,” katanya.
Alexander berkata skuad PC Sri Aman dibawah kendalian ketua jurulatih, Ridhuwan Abdul Manaf merangkap jurulatih Pembangunan Sepak Takraw Sarawak telah menjalani latihan secara berterusan di Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
“Saya harap pemain yang telah diberi sandaran ini agar memberi saingan yang hebat kepada pasukan lain, dengan persediaan dilakukan ini akan menyandarkan harapan dan kudrat pemain yang telah terpilih sebelum ini.
“Saya telah mengingatkan kepada semua pemain yang terpilih itu agar sentiasa bersemangat selain memberi fokus sepenuhnya pada setiap perlawanan dilalui dalam saingan sebenar kelak,” katanya.
Skuad takraw Sri Aman yang dibarisi oleh pemain muda akan menggalas tanggung jawab itu ialah Furguson Rabi, Ronaldinho Antau, Darren Lo (apit kanan), Hilary Dundang, Aquinas Rafael Andin Zacklester (tekong) serta posisi apit kiri diamanahkan kepada Bernardson Padat dan Harrison Atek.
Ketua jurulatihnya, Ridhuwan Abdul Manaf berharap pemain muda Sri Aman boleh menerapkan latihan yang dijalankan dengan semaksimum mungkin serta menterjemahkan kepada permainan yang berkualiti sepanjang kejohanan berlangsung nanti.
Oleh Adi Saparman