
KUALA LUMPUR, 26 Jun -- Pemansuhan subsidi minyak masak sawit kemasan botol dua kilogram (kg), 3kg dan 5kg yang diputuskan kerajaan dilihat sebagai langkah untuk memastikan lebih banyak bantuan secara terus dan bersasar dapat diberikan kepada golongan yang layak menerimanya. Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Dr Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan kerajaan itu, termasuklah keputusan mengekalkan subsidi minyak masak sawit dalam bungkusan plastik, dapat memberi manfaat kepada golongan rentan seperti B40 dalam memperoleh barangan keperluan bersubsidi yang disediakan kerajaan. Kerajaan dalam masa sama turut mengumumkan dana tambahan RM630 juta kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang akan memanfaatkan seramai 8.6 juta rakyat di negara ini, jadi, bantuan ini mampu mengurangkan sebahagian beban dalam membeli barangan keperluan bulanan. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) menjemput semua pihak untuk memberi maklum balas kepada Tinjauan Umum berkaitan Program Subsidi Bersasar untuk dijadikan sebagai input kepada kerajaan semasa merangka Program Subsidi Bersasar.
Menurut MOF dalam kenyataan semalam, maklum balas kepada Tinjauan Umum tersebut boleh dimuat turun melalui laman web https://budget.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/.
“MOF mengalu-alukan maklum balas bagi Tinjauan Umum ini dilengkapkan dan dikemukakan sebelum atau pada 30 Ogos 2022,” katanya.
Katanya langkah ini untuk memastikan subsidi yang disediakan kerajaan dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada kumpulan sasar.
“Tinjauan Umum ini juga merupakan pendekatan baharu MOF dalam siri penerbitan Kertas Konsultasi Awam (KKA) dalam usaha untuk menjadikan proses penyediaan bajet tahunan lebih telus dan penglibatan semua pihak secara menyeluruh,” katanya.
Menurut MOF, kerajaan yakin penerbitan KKA akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing bagi membolehkan kerajaan merangka sebuah bajet tahunan yang memenuhi keperluan rakyat serta selaras dengan dasar pembangunan sosioekonomi negara. – Bernama