

SIBU: Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton mengalami kemusnahan sepenuhnya pada bahagian dalaman dalam kejadian kebakaran di Jalan Hua Kiew di sini awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.14 pagi sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral ke lokasi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) pada 2.17 pagi, didapati benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton.
“Kebakaran melibatkan bahagian dalaman kenderaan dan tidak melibatkan ruang enjin. Anggaran kemusnahan pada bahagian dalaman kenderaan adalah 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu dengan sumber air daripada tangki jentera.
Beliau berkata api berjaya dikawal pada 2.20 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya.
“Selepas dipastikan tiada lagi punca nyalaan, operasi ditamatkan pada 2.40 pagi dan lokasi diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.
Oleh Tarani Lanting