KUALA LUMPUR: Azizul Annuar Adenan dipilih semula sebagai Presiden Taekwondo Malaysia (TM/WT) bagi penggal 2026 hingga 2030 selepas memperoleh kemenangan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-13 persatuan itu yang diadakan di sini baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu itu berjaya mempertahankan jawatan tertinggi badan induk taekwondo negara itu selepas menewaskan Datuk Dr. Arasu Thangaveloo dalam pertandingan dua penjuru dengan memperoleh 37 undi berbanding 12 undi.

Selain memimpin Taekwondo Malaysia, Azizul turut menyandang jawatan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM) serta Presiden Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak (TM/WT).
Mengulas pemilihan tersebut, Azizul merakamkan penghargaan kepada semua ahli gabungan atas kepercayaan yang diberikan dan berikrar untuk terus memperkukuh pembangunan sukan taekwondo negara menerusi semangat perpaduan, profesionalisme serta tadbir urus yang baik.
Beliau berkata, Taekwondo Malaysia kini memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) XXII 2026 di Selangor dengan memastikan segala aspek teknikal dan penganjuran pertandingan berjalan lancar.
Menurutnya, persatuan itu turut memberi fokus kepada persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 di Kuching menerusi pembangunan atlet, program kejurulatihan dan penyertaan dalam kejohanan antarabangsa bagi membentuk skuad kebangsaan yang lebih mantap dan berdaya saing.
“Jawatankuasa Eksekutif akan terus komited memberikan sokongan terbaik kepada atlet, jurulatih dan pegawai.
“Kami bersedia memberikan komitmen sepenuhnya dalam persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 di Kuching bagi memastikan atlet negara berada pada tahap terbaik untuk bersaing dan mengharumkan nama Malaysia di bumi sendiri,” katanya.




