
MUKAH: ‘Warisan Bertemu Kreativiti’ menjadi nadi Malam Bakat Kaul 2026 apabila pentas utama Pesta Kaul Mukah semalam bertukar menjadi medan ekspresi bakat dan identiti komuniti melalui persembahan yang sarat tenaga, kreativiti dan jiwa budaya.
Program anjuran Angkatan Zaman Mansang (Azam) Sarawak dengan kerjasama Persatuan Melanau Mukah ini berlangsung dari 8.00 malam hingga 11.00 malam, di Pentas Utama Tapak Pesta Kaul, menghimpunkan penyertaan daripada golongan belia, pelajar institusi pengajian tinggi serta komuniti setempat.
Sebanyak lapan kumpulan berentap secara sihat dengan menampilkan pelbagai persembahan termasuk tarian tradisional dan kontemporari, nyanyian berkumpulan serta muzik kreatif yang mencerminkan keunikan bakat dan kreativiti masing-masing.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pesta Kaul 2026, Yakub Arbi, yang menyatakan sokongan terhadap usaha memperkasa bakat dan kreativiti dalam kalangan masyarakat melalui platform seumpama ini.
Dalam pertandingan tersebut, kumpulan Sanggar Tari berjaya muncul sebagai johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM800 berserta sijil dan hamper.
Tempat kedua dimenangi oleh The Little Boy of Kenyalang, manakala tempat ketiga disandang oleh kumpulan Seni Tari Warisan Medong.
Semua peserta turut menerima sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan usaha yang ditampilkan.
Lebih daripada sekadar pertandingan, Malam Bakat Kaul 2026 menjadi bukti bahawa platform yang tepat mampu mencungkil potensi, membina keyakinan serta menyatukan komuniti melalui bahasa seni dan budaya.
Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan Azam Sarawak dalam memperkasa komuniti melalui pendekatan yang menggabungkan elemen pendidikan, kreativiti dan warisan, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang progresif, inklusif dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri serta semangat ‘Pergerakan Untuk Kemajuan’.