PETRA JAYA: Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sri Aman (PESTASA), Awangku Hafizi Awang Azahari, dipilih sebagai Naib Presiden II Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) bagi penggal 2026 hingga 2028.
Pemilihan itu berlangsung pada Mesyuarat Agung Tahunan PSS di sini, hari ini, yang turut menyaksikan barisan kepimpinan baharu persatuan berkenaan bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Awangku Hafizi berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada semua perwakilan yang memberikan kepercayaan kepadanya, selain mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya dipilih.

Menurutnya, pertandingan dalam pemilihan itu harus dilihat sebagai persaingan dalam satu keluarga besar PSS, dengan matlamat utama adalah memastikan persatuan terus berkembang dan maju.
“Terima kasih kepada semua pengundi dan tahniah diucapkan kepada semua pemenang dalam pemilihan tersebut.
“Kita bertanding dalam satu keluarga. Tiada yang kalah dan tiada yang menang, semuanya adalah untuk kemajuan PSS,” katanya kepada Utusan Sarawak, hari ini.
Beliau berkata, sebagai Naib Presiden PSS, beliau akan bekerjasama rapat dengan Presiden dan Timbalan Presiden dalam menyelaras serta melaksanakan perancangan baharu bagi membawa pembangunan sepak takraw Sarawak ke tahap lebih baik.
Katanya, usaha berkenaan akan dilaksanakan selari dengan aspirasi Presiden PSS untuk memperkukuh pembangunan sukan itu menerusi pembentukan pasukan yang lebih tersusun, penambahbaikan fasiliti latihan serta pengukuhan jalinan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi.
“Selaku Naib Presiden PSS, kita akan berusaha dan berkoordinasi dengan Presiden serta Timbalan Presiden dalam segala perancangan baharu PSS untuk membawa kemajuan kepada persatuan,” katanya.
Awangku Hafizi berharap kolaborasi muka lama dan muka baharu akan memberi lebih manfaat kepada PSS selepas ini.
Dalam pada itu, pembangunan barisan pelapis turut menjadi antara keutamaan PSS, khususnya bagi memastikan atlet muda mempunyai persediaan lebih mantap menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) akan datang.
Pendekatan berkenaan dilihat penting dalam memastikan pembangunan sepak takraw negeri dilaksanakan secara lebih menyeluruh, bukan sahaja dari aspek pencapaian atlet, malah merangkumi aspek latihan, kemudahan dan pembangunan bakat.
Sementara itu, Mesyuarat Agung Tahunan PSS menyaksikan Dato Ismail Abang Saufi kekal menerajui persatuan berkenaan bagi penggal 2026 hingga 2028 selepas menang tanpa bertanding.
Jawatan Timbalan Presiden pula dimenangi Dato Sri Saferi Ali yang turut menang tanpa bertanding selepas dua calon lain menarik diri.
Bagi jawatan Naib Presiden I, Shaukat Khan Ishtiaq Hussain Khan dipilih selepas memperoleh 27 undi, manakala Awangku Hafizi memenangi jawatan Naib Presiden II dengan 17 undi.
Kepimpinan baharu PSS diharapkan dapat meneruskan kesinambungan pembangunan sepak takraw Sarawak secara lebih tersusun, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai antara kuasa utama sukan berkenaan di peringkat kebangsaan.
Oleh Adi Safarman




