
SYDNEY, Australia: Pegawai hidupan liar membongkar satu operasi penternakan lipas haram di kawasan luar bandar Australia, sekali gus merampas sejumlah besar serangga bernilai lebih AS$100,000 di pasaran gelap bagi haiwan eksotik.
Lebih 100,000 ekor lipas seludup ditemui dalam satu serbuan ke atas sebuah premis penternakan komersial di bandar Bathurst, di barat Sydney, kata Jabatan Alam Sekitar Australia pada Jumaat.

Antara yang ditemui termasuk lipas Madagascar “hissing”, iaitu sejenis serangga besar yang dinamakan sempena mekanisme pertahanannya yang mengeluarkan bunyi desisan, serta lipas dubia, spesies invasif yang dibiakkan sebagai makanan untuk cicak peliharaan.
Gambar menunjukkan salah satu lipas Madagascar yang dirampas hampir sebesar tapak tangan orang dewasa.
“Kami mengambil serius tanggungjawab melindungi biodiversiti unik Australia serta pelanggaran undang-undang alam sekitar negara ini,” kata jurucakap jabatan alam sekitar itu.

“Ini termasuk aktiviti pembiakan dan perdagangan lipas eksotik secara haram, dan kami memberi amaran kepada perniagaan haiwan peliharaan serta pemilik haiwan.”
Jabatan itu memaklumkan bahawa serangga haram tersebut dianggarkan bernilai sekitar AS$140,000 (A$200,000).
Pegawai kini berdepan tugas untuk memusnahkan serangga tersebut, yang terkenal sangat tahan lasak sehingga timbul legenda bandar bahawa ia mampu bertahan daripada letupan nuklear. – AFP